Jumaat, 28 September 2012

Pakatan sasar kutip RM1 juta dana PRU malam ini

Oleh Norutul Ilham

KUALA LUMPUR : Majlis Makan Malam Perdana Pakatan Rakyat (MMPPR) yang bakal berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam malam ini bakal mensasarkan kutipan dana sebanyak RM1 juta sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).

Pengerusi Jawatankuasa MMPPR, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli berkata, sasaran utama kutipan adalah melalui jualan meja bermula RM1,000 hingga RM50,000.

“Semua 255 meja yang boleh memuatkan 10 orang setiap meja habis dijual. Bermakna lebih 2,000 akan hadir secara rasmi.

“Jika ada pihak yang mahu hulurkan sumbangan dana secara berasingan juga dibolehkan,” katanya ketika dihubungi.

Majlis tersebut akan dihadiri pimpinan utama Pakatan termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Program yang bermula jam 8.00 malam itu bakal dimeriahkan dengan acara lelongan barangan peribadi pimpinan utama Pakatan antaranya, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Mat dan Guan Eng.

Menurut Hatta, persiapan untuk majlis tersebut sehingga kini sudah 100 peratus siap dan hanya menunggu masa sahaja untuk dilancarkan.

“Semua persiapan sudah siap, setakat ini semuanya berjalan lancar, saya pasti majlis ini dapat dijayakan dengan baik.

“Kehadiran tetamu malam ini tidak akan menganggu lalu lintas dan mereka juga tiada masalah untuk mendapat tempat parkir kerana diadakan di kawasan stadium,” ujarnya.

Bagi orang ramai yang tidak berjaya membeli jualan meja, mereka dibenarkan hadir hanya untuk mendengar ucapan pimpinan utama sekitar jam 9.30 malam.

Kata beliau, ini adalah kali pertama Pakatan menganjurkan majlis Makan Malam Perdana untuk mengutip dana pilihan raya.

Beberapa pemimpin akan mengupas mengenai Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri di Parlimen petang ini.

Tiada ulasan: