Rabu, 26 September 2012

Pakatan bentang Belanjawan Alternatif hari ini, banyak manfaat untuk rakyat

KUALA LUMPUR : Pakatan Rakyat (Pakatan) akan membentangkan Belanjawan Alternatif 2013 menerusi taklimat khas kepada media di Dewan Rakyat petang ini.

Pimpinan Pakatan selepas melancarkan Belanjawan Alternatif 2012 pada 4 Oktober tahun lalu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membentangkan bajet alternatif berkenaan.
Ia dibuat dua hari menjelang pembentangan Belanjawan 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat ini.

Taklimat mengenai belanjawan tersebut telah dijalankan kepada semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat semalam.

Dalam Belanjawan Alternatif 2012 yang dibentangkan pada 4 Oktober tahun lalu, Pakatan mengumumkan peruntukan belanjawan sebanyak RM220 bilion untuk keperluan rakyat.

Belanjawan yang dinamakan Belanjawan Sejahtera Rakyat 2012 itu mengekang defisit pada kadar 4.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ia adalah penjimatan RM14 bilion berbanding perbelanjaan kerajaan Barisan Nasional iaitu pada kadar defisit 6 peratus daripada KDNK,  dengan rakyat mendapat 20 peratus nilai tambah.

Antara lain, Pakatan mengumumkan gaji minima RM1,100 yang juga melibatkan kenaikan gaji kakitangan awam mengikut tangga gaji. Pengenalan gaji minima akan memanfaatkan 300,000 orang kakitangan awam yang berada di bawah RM1,100.

Belanjawan tersebut merangkumi pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan bagi setiap guru seperti yang dijanjikan di dalam Buku Jingga.

Selain itu, penyelarasan gaji kakitangan awam berikutan pengenalan gaji minima dan janji Buku Jingga akan melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM5.9 bilion.

Lesen dan permit teksi akan diberikan terus kepada pemandu teksi dan tidak lagi secara konsesi.

Lesen import permit AP akan dibuat secara lelongan dengan jangkaan menambah hasil negara sebanyak RM1.2 bilion berbanding amalan sekarang yang menguntungkan kroni.

Sebelum ini, pentadbiran Najib menciplak idea yang dibentangkan Pakatan, antaranya memperkenalkan Model Ekonomi Baru yang menyerupai Agenda Ekonomi Malaysia yang diperkenalkan Anwar.

Najib juga mengumumkan bayaran kepada insentif guru yang meniru idea yang dikemukakan oleh Pakatan menerusi Buku Jingga.

Perdana Menteri turut memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dilihat meniru langkah yang telah diperjuangkan oleh Pakatan sejak sekian lama.

Untuk Belanjawan Alternatif 2013, dijangka Pakatan menyasarkan pelbagai tumpuan untuk mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada program khusus bagi mengurangkan bebanan dan menambah manfaat rakyat.

Tiada ulasan: