Selasa, 4 September 2012

Orang yang ‘perkosa’ masjid tak bertamadun – Pengerusi Syura

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR: Usaha menghalang masjid daripada disuburkan dengan risalah-risalah Allah merupakan satu usaha yang zalim dan tidak bertamadun, kata Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Abdul Ghani Shamsudin.

Beliau berkata, jika seseorang itu melakukan usaha bagi menghalang dakwah Allah, maka ia akan berdepan dengan tindakan Allah itu sendiri di akhirat kelak.

Tambah beliau, setiap seorang yang ingin memperkasakan diri, dia perlu bersama Allah, kerana hanya dengan Allah ia akan jadi perkasa.

“Umat Islam sepatutnya menyedari segala perkara dalam dunia ini berkaitan, orang yang tidak berilmu akan menjadi jahat, dan begitu sebaliknya. Dalam Islam, siapa yang ingin perkasa, perlu dengan Allah, kalau tidak jadi pekasam,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian kepada Harakah Daily mengulas kejadian serangan di sebuah masjid, di Alor Setar, ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan tazkirah Maghrib, baru-baru ini.

Sambil menyatakan kekesalan terhadap insiden berkenaan, Abdul Ghani yang juga Ahli Majlis Syura Ulama PAS berkata, gangguan terhadap rumah Allah itu satu perbuatan yang biadap, lebih-lebih lagi ketika tazkirah dijalankan.

“Kalau mereka tidak mahu mendengar tazkirah tersebut, keluarlah dengan baik. Ini tidak, setelah membuat bising di dalam dan setelah diminta keluar, berterusan membuat bising. Ini tidak bertamadun,” kata beliau yang turut berada di masjid berkenaan.

Sedangkan, tambah beliau ketika itu tazkirah dijalankan oleh seorang yang dikenali dan pernah menjadi pemimpin negara suatu ketika dahulu yang begitu dikenali ramai.

Menurut beliau lagi, mengganggu majlis dengan membuat andaian dan tuduhan yang bermacam-macam tanpa sebarang bukti hanya menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab.

Justeru, beliau menasihatkan mana-mana pihak yang gemar ‘memperkosa’ majlis agama ini agar menghentikan perbuatan tersebut memandangkan perbuatan tersebut akan berdepan dengan tindakan Allah SWT di akhirat kelak.

“Nasihat saya, jangan jadi orang yang perkosa masjid. Kalau nak jadi perkasa, kena bersama-sama dengan Allah, baru perkasa. Bukan jadi perkosa,” tegas beliau.

Tiada ulasan: