Khamis, 13 September 2012

'Orang parti' jual tanah, dakwa Pemuda Umno
Wartawan Sinar Harian
12 September 2012
Wan Amizan Wan Abdul  Razak
Ketua Pemuda Umno Bahagian Jerantut, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak
 
BANDAR JERANTUT - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat penjualan tanah di kawasan bandar Jerantut yang didakwa berlaku penyelewengan membabitkan penjawat awam dan ahli  Umno sendiri.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Jerantut, Datuk Wan Amizan Wan Abdul  Razak berkata, kes itu perlu disiasat supaya imej dan nama baik Umno dapat dibersihkan daripada segala unsur rasuah.

Menurutnya, Pemuda Umno berasa terpanggil membuat laporan kepada SPRM supaya menyiasat perkara itu bukan sahaja untuk membersihkan imej parti, malah bagi mengekang segala manipulasi projek dalam kawasan bandar oleh pihak tertentu.

"Laporan kepada SPRM akan dikemukakan dalam minggu ini supaya siasatan segera boleh dilakukan bagi membuktikan sama ada pihak tertentu memainkan peranan sehingga menyebabkan tanah di bandar ini beralih kepada syarikat bukan Melayu.

“Siasatan perlu dijalankan berikutan perkara ini kerap dibangkitkan ahli Umno di sini, malah Pemuda Umno turut menerima aduan daripada orang ramai supaya  kes ini disiasat mengikut undang-undang,” katanya kepada Sinar Harian.

Wan Amizan berkata, dalang yang didakwa dalam kalangan orang kuat Umno itu sendiri telah menyebabkan banyak tanah di bandar Jerantut  bertukar milik kepada pihak lain.

Katanya, sebilangan tanah di Bandar Baru yang menempatkan tapak rekreasi, stesen teksi dan bas contohnya, sudah terlepas kepada syarikat tertentu akibat tindakan pihak terbabit.

“Pemuda Umno juga mahu SPRM membuat siasatan mengenai manipulasi ‘projek silang’ dalam kawasan bandar yang dilihat dimonopoli syarikat tertentu.

“Kita khuatir wujud unsur korupsi, penyalahgunaan kuasa dan gejala lain bagi kepentingan satu pihak, sedangkan rakyat seperti peniaga, pemandu teksi dan pengusaha kecil ditindas,” katanya.
Beliau berkata, Pemuda Umno sedia mengemukakan bukti supaya mereka yang terlibat disiasat mengikut undang-undang.

Wan Amizan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tahan berkata, laporan yang akan dikemukakan Pemuda Umno kepada SPRM itu adalah untuk membersihkan imej Umno yang dilihat tercalar oleh perbuatan segelintir ahlinya.

"Perbuatan mereka menyebabkan parti pembangkang mengambil kesempatan, memperlekeh Umno dan memberi impak pada pilihan raya umum tidak lama lagi.

“Siasatan perlu dibuat dan perlu dibuktikan untuk pengetahuan rakyat sesuai dengan perjuangan Umno yang lebih telus. Ini penting bagi melakarkan perubahan di samping perlu mempunyai pemimpin yang berintegriti dan amanah,” katanya.

Tiada ulasan: