Merdeka dari penjajahan pemikiran
Penjajah membawa fahaman sekular dan kebangsaan, sedangkan fahaman ini ditolak oleh Islam.
PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata rakyat hendaklah merdeka dari penjajahan kerana penjajah membawa fahaman yang berlawanan dengan ajaran Islam.
“Penjajah membawa fahaman sekular dan kebangsaan, sedangkan fahaman ini ditolak oleh Islam,” kata beliau yang juga Menteri Besar Kelantan dalam blog rasminya bersempena Hari Malaysia semalam.
Beliau membuat analogi sebagaimana sifat iblis yang suka menghasut manusia supaya berbuat sesuatu yang berlawanan dengan perintah Allah.
“Sifat iblis ini adalah suatu penjajahan atas manusia yang beriman, maka iblis adalah penjajah pertama terhadap manusia.
“Oleh itu, kemerdekaan dari hasutan iblis adalah wajib, dan sebagaimana kita juga wajib merdeka dari fahaman kebangsaan dan sekular yang dibawa oleh penjajah.
Nik Aziz lalu memetik firman Allah SWT dalam Surah Al-A’raaf ayat 11-12 bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud.
Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah”.
Maksud dari Surah Al-A’raaf di atas bahawa datuk manusia yakni Adam dan Hawa pernah dihasut oleh iblis ketika dalam syurga. Iblis menjalankan ‘penjajahan’ agar Adam dan Hawa mengikut hasutannya memakan buah dari pokok yang dilarang oleh Allah.
Katanya, iblis melaksanakan pendekatan ‘ghurur’ dengan memujuk secara tipu daya, kononnya apabila memakan buah larangan itu Adam dan Hawa akan kekal selama-lamanya di dalam syurga.
Tegas Nik Aziz, “sewajarnya kita kena merdeka diri dan negara ini daripada sifat iblis yang dilaknat Allah.
Oleh kerana itu, semangat kesatuan di bawah sebuah negara merdeka, Hari Malaysia yang berlaku pada 16 September 1963 sejak dulunya, (masuk 51 tahun) harus dikenang dan dijadikan landasan bagi mengisi negara dengan nilai kemerdekaan menurut semangat Islam.
“Kita hendaklah mengisinya dengan prinsip dan sistem bernegara yang diajar oleh Islam,” ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan