Ahad, 23 September 2012

Kerjasama pintar IPT, polis tangani jenayah universiti

Wartawan Sinar Harian

Kerjasama pintar IPT, polis tangani jenayah universiti
Ismail menunjukkan skrol simbolik perasmian Program Kepolisan Komuniti Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Agong Tuanku Canselor, semalam.
 
SHAH ALAM - Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berharap jalinan kerjasama pintar antara komuniti kampus dengan polis menerusi Program Kepolisan Komuniti Kampus (3K) dapat membantu mencegah dan menangani jenayah di kawasan universiti.

Beliau berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak itu juga inisiatif polis mendekati golongan siswa dan siswi dalam membendung gejala itu.

“Golongan siswa dan siswi adalah kumpulan yang penting dan bakal menerajui kepimpinan negara pada masa akan datang, justeru disiplin yang tinggi dan kesedaran menjaga keamanan negara perlu dipupuk dalam diri mereka.

“Selain itu, program ini adalah strategi jangka masa panjang PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk mencari bakal pegawai polis yang berkualiti dan berintegriti lebih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program 3K Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) peringkat Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, semalam.

Sebelum itu, Ismail turut memeriksa perbarisan kira-kira 600 anggota Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Suksis) di padang kawat universiti itu.

Beliau berkata dengan kewujudan program 3K itu, PDRM menyediakan modul tertentu antaranya mengadakan rondaan bersama antara anggota Suksis dan polis di taman perumahan atau pusat beli-belah.

Ismail berkata dalam rondaan itu, anggota Suksis yang terlibat akan melihat dan mempelajari cara pihak polis menjaga keamanan di setiap kawasan.

“Kerjasama Suksis dan pihak polis dalam rondaan ini dijangka dilakukan dalam masa terdekat dan kita akan bermula di kawasan Shah Alam dahulu,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Datuk Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata kerjasama yang terjalin di antara Suksis dan polis akan lebih merapatkan lagi hubungan antara PDRM dan golongan mahasiswa.

Beliau berkata, penglibatan pelajar dalam program itu membuktikan mereka juga sangat prihatin dan ingin melihat negara dalam keadaan aman.

Tiada ulasan: