Khamis, 20 September 2012

Isu Pijak Dan Bakar Gambar Guan Eng, Polis Masih Gagal Bertindak




SHAH ALAM: Polis didakwa masih bertindak pilih kasih terhadap keganasan politik kerana gagal mengambil tindakan terhadap individu dan kumpulan yang menghina dan mengancam nyawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Timbalan Ketua Menteri(I) Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman berkata, polis masih tidak ambil tindakan terhadap individu dan kumpulan ekstremis Melayu walaupun terdapat gambar dan video tentang penglibatan mereka.

Sikap polis terhadap Guan Eng, nyata berbeza dengan kes gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dipijak semasa ketika Perhimpunan Janji Bersih pada 30 Ogos lalu.

“Semasa isu gambar Najib dipijak, ada yang menyuarakan perlu adanya campur tangan polis dan Peguan Negara dan difahamkan beberapa orang telah ditahan dan disoalsiasat polis,” katanya melalui surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Mansor berkata, tindakan sedemikian tidak berlaku terhadap kumpulan ekstrimist Perkasa yang memijak, mengoyak dan membakar gambar Guan Eng dalam satu insiden pada bulan Mei.

Malah, kumpulan terbabit turut melakukan demonstrasi yang lebih ganas dan mereka juga melakukan upacara kematian ke atas beliau di hadapan pintu kediaman Ketua Menteri itu sewaktu demonstrasi pada 10 Mei lalu.

“Beliau juga telah dihadiahkan kek berbentuk tahi dan keranda oleh individu yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Dakwanya, walaupun laporan polis dibuat beserta bukti gambar dan video insiden itu, sehingga kini polis masih lagi berdiam diri.

Lebih mengejutkan kata Dr Mansor, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah pernah berkata tiada bukti yang cukup untuk mendakwa mereka yang terlibat.
Mazlan telah membuat kenyataan itu dalam akhbar The Star bertarikh 8 Sept lalu.

Menurut Mansor, jawapan yang diberikan oleh polis tidak boleh diterima kerana saksi, gambar dan pengakuan oleh mereka yang terlibat turut disertakan di dalam laporan polis itu.

Tiada ulasan: