Sabtu, 22 September 2012

IPO: Astro dijangka kumpul RM4.56 bilion

SINAR HARIAN

IPO: Astro dijangka kumpul RM4.56 bilion
Najib Tun Razak ketika majlis pelancaran Prospektus Astro hari ini. Turut hadir Rais Yatim Pengerusi Astro Tun Zaki Tun Azmi,Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan
 
KUALA LUMPUR – Astro Malaysia Holdings Bhd dijangka mengumpul RM4.5549 bilion kutipan kasar dari Tawaran Awal Permulaannya (IPO).

IPO itu melibatkan 1,518,300,000 saham biasa, yang bersamaan dengan 29.2 peratus daripada modal saham biasa yang diterbitkan dan berbayar syarikat itu, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Astro Malaysia hari ini.

IPO itu juga terdiri daripada terbitan awam 474,300,000 saham biasa baharu dan tawaran untuk jualan sehingga 1,044,000,000 saham sedia ada.

Harga indikatif tawaran runcit itu ialah RM3 sesaham. Antara pelabur utamanya ialah Permodalan Nasional Bhd, Standard Pacific Capital, Great Eastern Life Assurance, Corston-Smith Asset Management, Nomura Asset Management and Universities Superannuation Scheme, yang telah memberikan persetujuan untuk mengambil alih 430 juta saham atau lebih dua per tiga daripada tawaran institusi secara keseluruhannya.

Menurut prospektusnya, hasil kasar yang diraih dari terbitan itu sebanyak RM1.4229 bilion akan digunakan bagi pembayaran balik pinjaman bank, perbelanjaan modal, modal kerja dan fi serta perbelanjaan bagi IPO dan penyenaraiannya.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group Datuk Seri Nazir Razak berkata sambutan baik terhadap IPO itu mencerminkan keyakinan kukuh para pelabur.

“Pihak pengurusan akan melakukan majlis penerangan bergerak di seluruh dunia dan kami telah mengatur pertemuan dengan pelabur utama di seluruh dunia," kata Nazir pada taklimat media selepas pelancaran prospektus itu hari ini.

CIMB Investment Bank adalah Pengurus Transaksi IPO itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Datuk Rohana Rozhan berkata fokus Astro yang tidak mengenal penat lelah ialah untuk menawarkan nilai yang betul kepada setiap rakyat Malaysia dengan menawarkan kandungan tempatan, serantau dan antarabangsa yang terbaik.

Astro hari ini menyediakan perkhidmatan kepada 3.1 juta isi rumah yang semakin berkembang, 15 juta penonton TV dan lebih 13 juta pendengar radio.

Pengerusi Astro Datuk Seri Zaki Tun Azmi berkata, melalui IPO itu, Astro akan memperkenalkan semula kepada pasaran ekuiti tempatan serta pelabur institusi asing dan tempatan, perniagaan Malaysia syarikat itu yang dicergaskan semula.

"Kami telah membuat pelaburan yang besar sejak dua tahun lepas dan telah berkembang. Astro Malaysia kini berada pada kedudukan untuk meneruskan trajektori pertumbuhan itu yang menghasilkan aliran tunai yang kukuh dan stabil," katanya pada majlis pelancaran prospektus itu.

Rohana berkata, pada 2009, satu keputusan dibuat untuk beralih kepada platform teknologi Astro B.yond yang baharu yang merupakan perkhidmatan berdefinisi tinggi.

Kini , katanya daripada keseluruhan 3.1 juta pelanggan TV berbayar, 1.6 juta sedah beralih ke platform B.yond dan lagi 1.5 juta berpotensi beralih ke platform itu.

Rohana berkata Astro berpeluang mencatatkan pertumbuhan dari dua pelaung iaitu pelanggan baharu serta pelanggan sedia ada yang boleh melanggan perkhidmatan bernilai tambah seperti B.yond serta Astro On-the-Go.  

Pasca IPO, Khazanah Nasional Bhd akan memiliki kira-kira 20.8 peratus kepentingan di dalam Astro.-Bernama

Tiada ulasan: