Jumaat, 14 September 2012

Bubar asing: Pemuda PAS sokong keputusan PR

Harakahdaily,
 
SHAH ALAM: Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyokong apa jua keputusan yang akan dicapai oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat di dalam penetapan samada untuk pembubaran Dun serentak dengan pembubaran Parlimen ataupun sebaliknya.

Ketua Pengarahnya Mohd Sany Hamzan berkata, pihaknya berasa cukup yakin dengan persediaan yang telah dilakukan oleh seluruh jentera pemuda PAS di setiap negeri semenjak daripada pilihanraya umum ke 12 lalu dan tidak akan melemahkan jentera pemuda sekiranya pilihanraya dilakukan secara berasingan di antara DUN dan Parlimen.

"Kita juga menyokong hasrat kerajaan Negeri Selangor untuk melakukan pilihanraya secara berasingan daripada kerajaan persekutuan kerana masih ada lagi penyelewengan di dalam daftar pemilih Negeri Selangor yang masih belum dibersihkan oleh pihak SPR," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, pihaknya juga bersedia menyambut cabaran daripada pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional yang melahirkan keyakinan mereka untuk merampas semula negeri Selangor sekiranya pilihanraya diadakan secara berasingan.

"Kita akan lihat apakah pemimpin Umno dan Barisan Nasional Selangor benar-benar ‘anak jantan’ atau sebaliknya," katanya.

Sehubungan itu beliau juga turut menyeru agar jentera pemuda PAS dan Pakatan Rakyat di semua peringkat untuk sentiasa berwaspada dan bersiap siaga dengan sebarang tindakan provokasi pihak-pihak yang ‘tidak siuman’ terutamanya menjelang pilihanraya umum ke 13 ini.

"Pastikan fizikal dan mental petugas-petugas sentiasa berada di dalam tahap yang terbaik selain istiqamah di dalam menjaga hubungan dengan Allah Taala," tegasnya.

Tiada ulasan: