Isnin, 3 September 2012

AMK mahu tindakan hina pemimpin Pembangkang juga disiasat

Oleh Aisya Geoffrey

PETALING JAYA : Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin mencabar Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Bakri Zinin agar menyiasat secara adil berhubung tindakan menghina ke atas pemimpin Pembangkang.



Ia berikutan polis akan menjejaki individu yang memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka Khamis lalu.

“AMK mengutuk sekerasnya tindakan menghina pemimpin, kita juga akan tolong cari individu yang bertanggungjawab.

“Tapi jangan lupa, pemimpin Pembangkang juga banyak kali mengalami penghinaan yang lebih teruk, gambar Nik Aziz (Nik Mat) diconteng, Ambiga dikencing dan banyak lagi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, dekat sini hari ini.

“Kita mencabar Bakri Zinin menyiasat dengan adil dan tanpa diskriminasi. Jangan hanya jaga kepentingan pemerintah, tapi pemimpin Pembangkang dibiarkan. Polis kena adil pada semua pemimpin negara,” tegas Shamsul.

Tiada niat tukar Jalur Gemilang  

Beliau turut mengulas dakwaan kononnya pemimpin muda AMK, Najwan Halimi yang bertanggungjawab terhadap rekaan bendera Sang Saka Malaya.

“Memang saudara Najwan mencipta bendera tersebut, tetapi sebagai kapasiti beliau sebagai anak muda yang melopori sejarah dan bukan sebagai pemimpin muda.

“Beliau mereka bendera itu pada tahun 2007, sebelum sertai AMK lagi. Jadi isu ini tidak sepatutnya timbul,” katanya.

Shamsul menjelaskan, AMK dan KEADILAN langsung tiada niat untuk menukar Jalur Gemilang.
“Kita tak terfikir pun nak tukar, tapi apa salahnya untuk anak muda mengibarkannya. Itu menunjukkan manisfestasi anak muda yang cerah fikiran dan tajam pengamatan sejarahnya, Umno sendiri kena baca dan amati sejarah balik,” sinis beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mempertahankan tindakan sekumpulan pemuda mengibarkan bendera Sang Saka Malaya semasa sambutan ambang merdeka 30 Ogos lalu.

Ketua Pembangkang itu berkata, tindakan tersebut tidak salah kerana bendera itu asalnya dicadangkan menjelang kemerdekaan Tanah Melayu.

“Episod ini ada dalam sejarah negara ini, dan inilah bendera yang digunakan. Saya tidak rasa anak muda berhasrat menukar bendera Jalur Gemilang tetapi ia semata-mata untuk mengetengahkan suatu perkara dalam sejarah negara,” katanya dipetik.

Tiada ulasan: