Jumaat, 27 April 2012

Tutup Dataran Merdeka selama-lamanya, saran Pemuda PAS

FREE MALAYSIA TODAY

"Wartakan kepada rakyat, bahawa Dataran Merdeka hanya untuk aktiviti kerajaan BN sahaja serta hanya untuk pelancong asing. "




PETALING JAYA: Kecewa kerana tidak dapat menggunakan Dataran Merdeka sebagai lokasi Bersih 3 esok, Pemuda PAS mencadangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup padang itu selama-lamanya.

“Wartakan kepada rakyat, bahawa Dataran Merdeka hanya untuk aktiviti kerajaan BN sahaja serta hanya untuk pelancong asing.

“Untuk rakyat, tempat mereka hanya di kampung-kampung atau di kawasan terpencil luar bandaraya Kuala Lumpur yang jauh daripada pembangunan kerana itu sahaja tempat yang layak buat mereka ,” kata Ketua Penerangan, Riduan Mohd Noor.

Bagi Pemuda PAS, tindakan DBKL seperti menghina rakyat Malaysia dan menafikan hak rakyat untuk berhimpun bagi menyatakan suara hati mereka.

Pemuda PAS, kata beliau merasa kecewa kerana DBKL dan kerajaan Malaysia tidak menghormati rakyat di negara ini.

Kawasan umum

Meskipun Dataran Merdeka dikawal selia oleh DBKL, namun ia adalah kawasan umum yang semua rakyat boleh mengunjunginya.

Dataran Merdeka juga dianggap salah satu lokasi pelancongan penting kepada pelancong asing yang datang ke Kuala Lumpur. Boleh dikatakan tidak sah pelancongan di Malaysia jika tidak mengunjungi Dataran Merdeka, kawasan yang penuh bersejarah itu.

“Jika pelancong asing dibenarkan mengunjungi Dataran Merdeka pada bila-bila masa pun, dan jika konsert yang membawa masuk artis luar negara diadakan di kawasan itu dibenarkan, mengapa pula rakyat sendiri tidak dibenarkan mengunjunginya?

“Lebih dari itu, banyak aktiviti yang diadakan saban tahun seperti konsert sambutan tahun baru, sambutan kemerdekaan, dan lain-lain lagi yang menjurus kepada perlakuan maksiat dan pergaulan bebas lelaki dan perempuan dibenarkan, apakah alasan pula bagi menghalang aktiviti yang memupuk rakyat cintakan negara dan bencikan penyelewengan oleh pemimpin-pemimpin negara.

“Rakyat merasa terkilan kerana kerajaan menganggap rakyat sebagai golongan merbahaya yang perlu ditentang habis-habisan,” katanya lagi.

Tiada ulasan: