BESUT — Seorang tukang jahit kerugian lebih RM30,000 apabila 25 pasang pakaian yang ditempah pelanggan termasuk dua mesin jahit yang menjadi sumber pendapatannya hangus apabila rumahnya dijilat api dalam kejadian pukul 11.40 pagi semalam.
Masitah Daud, 64, hanya mampu menitiskan air mata selepas rumahnya di Kampung Teluk dekat Alor Lintah di sini musnah dalam sekelip mata.
Masitah yang ditemui di rumahnya menganggap kejadian itu sebagai dugaan Allah terhadapnya kerana 35 hari lalu suaminya, Daud Othman, 64, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika menunggang motosikal menjaja ikan di Kampung Lampu dekat Kuala Besut.
Katanya ketika kejadian itu, beliau yang sedang berbincang dengan anak keempatnya Zuraini Yahya, 42, mengenai urusan mengadakan kenduri arwah untuk suaminya, tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi di bahagian tengah rumahnya.
Beliau yang hanya tinggal berdua dengan anak bongsu Nurul Hidayah, 22, yang ketika itu bekerja di Jertih berkata ekoran kejadian tersebut Zuraini masuk menjengah dan katil dalam bilik adiknya (Nurul Hidayah) sudah dijilat api dan terus marak begitu cepat menyambar rumah kayu itu.
"Saya tidak sempat selamatkan barang-barang lain. Bagaimanapun beberapa dokumen penting sempat diselamatkan,” katanya.
Lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Besut bersama sebuah jentera telah bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira 11.48 pagi dan dapat mengawal api kira-kira 20 minit kemudian. — BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan