Isnin, 30 April 2012

Tindakan polis langkau perintah mahkamah

Khairil Abdul Rahim,
 

TEMERLOH: PAS mengecam tindakan ganas polis terhadap peserta Bersih 3.0 semalam kerana melangkaui perintah mahkamah sedangkan mereka berhimpun untuk menuntut keadilan dalam pilihan raya umum (PRU).

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perintah mahkamah tidak mengizinkan perhimpunan di Dataran Merdeka sebaliknya tindakan polis pula meliputi kawasan lain.

(Tuan Guru Abdul Hadi menerima cenderahati daripada Tuan Ibrahim selepas merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kuala Krau.)

“Bayangkan tembakan gas pemedih mata dan semburan air kimia dilepaskan di Datarn Maybank, Masjid Jamek dan berhampiran Masjid Negara dan dalam keadaan peserta sudah mahu bersurai.

“Mereka yang berhimpun di ibu negara bukan suka-suka tetapi menuntut sistem yang adil dalam PRU yang amat dipertikaikan pada masa ini sedangkan ketelusan dalam sistem pemilihan pemimpin amat penting dalam sesebuah negara demokrasi,” katanya.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu berucap mengulas kekecohan dan provokasi perhimpunan duduk bantah di Kuala Lumpur semalam, semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya dalam Mesyuarat Agung PAS Kuala Krau di Darul Hikmah, Kerdau di sini hari ini.

Mesyuarat Agung kali ke-26 tersebut dirasmikan oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Tuan Ibrahim yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krau, melahirkan rasa hairan setelah Bersih 3.0 dianggap tiada ancaman oleh Menteri Dalam Negeri dan diluluskan akta perhimpunan yang baru seiring dengan transformasi dibawakan Perdana Menteri, sebaliknya menerima reaksi dan layanan yang keras daripada polis.

“Rakyat berhimpun menuntut sistem yang adil adalah mencegah mungkar. Mungkar bukan saja minum arak tetapi juga penipuan dalam sistem memilih pemimpin.

“Sepatutnya semua pihak sedar bahawa 8 tuntutan Bersih adalah demi untuk memastikan pemimpin benar-benar dipilih secara adil, mewakili rakyat  dan tanpa sebarang penipuan yang akhirnya dikembalikan kebaikannya kepada negara ini juga,” tegasnya.


Dalam pada itu Tuan Ibrahim turut menganggap borang pinjaman bank untuk membeli saham yang diagihkan Felda dan ditanda tangan peneroka baru-baru ini tidak sah dari segi syarak kerana mereka dipaksa dan tidak faham isi perjanjian dalam bahasa Inggeris itu.

“Ada peneroka yang menghubungi saya menyatakan rasa kesal kerana dipaksa tanda tangan borang pinjaman bank dalam bahasa Inggeris. Mereka tidak tahu jumlah pinjaman dan untuk tempoh berapa lama beerhutang.

“Tentulah peneroka yang kebanyakannya berusia lanjut itu kesal kerana dipaksa terbabit dengan riba’ kerana faedah dikenakan 6.5 % tetapi dipaksa tanda tangan. Dari segi syara’ hutang itu tak sah kerana peneroka tak faham isi perjanjian,” katanya.

Tambahnya, peneroka mengharapkan durian runtuh sebagaimana yang diuar-uarkan, malangnya hutang dan riba pula yang diberikan kepada peneroka sempena penyenaraian Felda Global Ventures Holding Bhd. (FGVH) ke Bursa Malaysia.

Tuan Ibrahim turut mengingatkan peneroka, sebagai institusi kewangan sesebuah bank apabila menghutangkan wang mereka perlukan cagaran justeru jika jaminan saham tidak mencukupi risikonya nanti ialah slip pendapatan peneroka akan jadi cagaran.

Mengenai PRU, Tuan Ibrahim mengingatkan hampir 70% pengundi kawasan parlimen Kuala Krau terdiri daripada peneroka Felda justeru beliau meminta warga tanah rancangan itu bertindak bijaksana dengan memilih Pakatan Rakyat  yang komited untuk mengubah nasib mereka dan generasi seterusnya.

Tiada ulasan: