Ahad, 8 April 2012

RM1.7 Bilion Dibelanjakan Bagi Ubat-Ubatan Generik Tahun Lepas

MSTAR ONLINE

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata sejumlah RM1.7 bilion dibelanjakan kerajaan tahun lepas membeli ubat-ubatan generik sebahagian besarnya untuk memenuhi keperluan penghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) di seluruh negara.

Beliau berkata kerajaan menjangkakan perbelanjaan untuk keperluan berkenaan akan meningkat setiap tahun.

"Kenapa peningkatan mendadak ini...kerana NCD, kerana kolestrol tinggi, darah tinggi dan seterusnya. Pesakit terpaksa memakan Levithol dan pelbagai jenis ubat.

"Setiap hari anda terpaksa memakan ubat dan ia sangat besar belanjanya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pesta Kesihatan 2012 akhbar The Star, di sini Sabtu.

Liow menerangkan kebanyakan daripada ubat-ubatan generik dibekalkan oleh pengeluar tempatan tetapi sesetengahnya diimport.

"Ia lebih murah (untuk menggunakan ubat-ubatan generik), sebenarnya ini adalah kecenderungan di dunia sekarang, kebanyakan hospital di dunia menggunakan ubat-ubatan generik...keberkesanan ubat-ubatan ini adalah sama dan kita dapat membantu lebih ramai orang.

"Di Malaysia, di segi peratusan ubat-ubatan generik yang digunakan, ia kira-kira 50 peratus," katanya.

Oleh kerana itu, kata Liow, dalam usaha mengurangkan angka pesakit NCD kerajaan merancang menganjurkan 80 karnival kesihatan di peringkat komuniti seluruh negara menjelang hujung tahun ini dalam menyedarkan orang ramai supaya kerap melakukan saringan kesihatan setiap tahun.

Beliau memperakukan rakyat Malaysia berumur lebih 30 tahun dan tidak lagi 40 tahun supaya menjalani saringan kesihatan untuk faktor risiko NCD, disebabkan banyak kes NCD dikesan di peringkat lebih awal.

"Ini penting kerana NCD tidak membunuh dengan cepat. Hanya kumpulan penyakit pembunuh senyap yang secara perlahan-lahan membunuh melalui penyakit jantung, sakit buah pinggang dan banyak lagi," katanya dan menambah bahawa seorang daripada tujuh rakyat Malaysia didapati mengidap diabetes.

Selain itu, kata Liow, kerajaan sedang berusaha melatih ketua-ketua kampung dan petugas rukun tetangga mewakili kementerian membuat saringan kesihatan di peringkat akar umbi.

Beliau berkata program printis sudahpun dijalankan di Pahang dan ia terbukti berkesan. - BERNAMA

Tiada ulasan: