Sabtu, 28 April 2012

Rakyat dimusuhi berhimpun di Dataran Merdeka

MALAYSIA CHRONICLE


Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) kesal sikap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang beria-ia untuk tidak mahu membenarkan rakyat berada di Dataran Merdeka sepanjang 4 hari kerana Bersih 3.0.

Bertindak sehingga mendapatkan arahan mahkamah untuk menghalang rakyat berhimpun di Dataran Merdeka menunjukkan bahawa undang-undang diguna semaksimanya untuk menyekat suara rakyat yang mahu menggunakan ruang demokrasi yang sah di negara ini.

Dataran Merdeka yang asalnya adalah khazanah rakyat kini menjadi milik parti pemerintah secara mutlak atas nama undang-undang.
DBKL nampaknya bersungguh-sungguh mahu menjadi agensi kepada parti pemerintah bukan kepada kerajaan semata-mata.

Hanya kerana rakyat memilih mahu berada di Dataran Merdeka seluruh bala tentera polis dikerah bukan kerana suatu jenayah bakal berlaku, bukan kerana ada ancaman keselamatan, bukan kerana KL akan menjadi kota kacau bilau.

Hanya satu alasan sahaja. Datuk Bandar menerima arahan dari parti pemerintah.

Nampaknya kerajaan yang sepatutnya menjadi pelindung kepada hak rakyat kini menjadi punca masalah kepada hak rakyat dinafi. Kerajaan yang sepatutnya bertanggungjawab untuk memastikan rakyat boleh menyuarakan pandangan untuk mendapat jaminan pilihanraya yang bersih, ditohmah malah dilihat sebagai musuh yang perlu dihancurkan.

Apakah dosa rakyat sehingga suara mereka dilihat dengan prasangka buruk oleh pegawai kerajaan yang sebenarnya digajikan dari cukai rakyat sendiri. Kenapa pegawai kerajaan harus mengambil langkah memusuhi rakyat, padahal akhirnya rakyatlah yang akan menentukan siapa akan membentuk kerajaan.

Sikap Datuk Bandar yang menghalang rakyat berada di Dataran Merdeka akan tercatat dalam sejarah sebagai hari hitam dalam sejarah negara. Simbol kemerdekaan yang dilambangkan oleh dataran tersebut kini dirampas dan dimusnah oleh pegawai kerajaan sendiri yang lebih selesa mendengar arahan politik pemerintahan dari memelihara hak rakyat yang dijamin dalam Perlembagaan. Tidak ada bezanya tindakan itu dengan tindakan penjajah British dahulu.

Seluruh saluran undang-undang dicari untuk menghalang hak asasi rakyat untuk berhimpun. Suara rakyat yang sah untuk menuntut pilihanraya yang bersih, adil dan telus, terang-terangan tidak dihirau malah rakyat diugut dengan tindakan polis dan tangkapan.

Mapim mengingatkan kepada semua pihak yang menjadi dalang menafi hak rakyat bahawa pada satu masa nanti semua konspirasi antara pegawai kerajaan dan pemimpin politik pemerintah dan pihak keselamatan akan terbongkar.

Semua alasan yang direka pada suatu waktu nanti akan terdedah. Politik angka yang cuba dimanipulasi melalui pendaftaran warga asing suatu hari akan dimaki oleh generasi akan datang sebagai kerajaan dan parti pemerintah yang mengkhianati amanah dan menjual kedaulatan negara demi mengekalkan kuasa.

Apa erti berkuasa jika ia datang dari sokongan dari warga asing yang sangat rapuh. Apa erti kemenangan jika ia dicapai dengan penipuan yang tidak akan dapat dirahsiakan selama-lamanya.

Semua harus tahu bahawa ketika kuasa imperialis British mengguna seluruh kuasa mereka untuk menghitamkan kambing rakyat yang mahu mencapai kemerdekaan, akhirnya terpaksa berhadapan dengan gelombang rakyat yang melancarkan pemberontakan melalui gerakan bawah tanah.

Kerajaan yang ada sekarang juga akan menerima akibat yang sama bila mereka merasa terlalu kuat dan menguasai semua perkakas kerajaan untuk membendung kebangkitan rakyat.

Pengalaman kebangkitan rakyat di Asia Barat harus dipelajari dengan cermat kerana ketika golongan elit politik yang kaya raya merasa selesa dan kekalahan dianggap bukan suatu pilihan, akhirnya berhadapan dengan gabungan kekuatan rakyat marhaen, petani dan buruh, professional dan pelajar, ahli seniman dan budayawan, kelompok mustadhafin dan golongan ulama, bergabung untuk bangkit menentang kezaliman.

Mapim menyeru agar semua kakitangan kerajaan dan pihak keselamatan menginsafi bahawa perubahan tidak mungkin boleh dibendung dengan kekerasan sepanjang masa. Suatu masa akan wujud dimana sejarah kuasa rakyat kembali berulang dan segala benteng akan pecah, dan mereka yang bertanggungjawab memukul dan menganiaya rakyat dengan belantan dan gas pemedih mata akan diadili rakyat di mahkamah rakyat nanti.-Harakahdaily

Tiada ulasan: