Jumaat, 27 April 2012

Polis ulangi langkah halang BERSIH 3.0 dengan perintah mahkamah?



Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menerima khabar bahawa polis telah mengulangi langkah memohon perintah mahkamah untuk menghalang perhimpunan BERSIH 3.0, yang bakal berlangsung pada 28 April 2012.

Di samping itu, Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein bersikap keras untuk memberi amaran kepada BERSIH, bahawa polis akan mengambil tindakan yang perlu seandainya penganjur meneruskan niat mereka untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 28 April.

Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH, Wong Chin Huat (gambar kanan) menulis dalam laman sosial Facebooknya, bahawa polis telah memperolehi perintah mahkamah untuk menghalang perhimpunan Duduk Bantah BERSIH 3.0.

Ketika dihubungi MerdekaReview, Wong Chin Huat berkata pihak polis telah meminta media cetak utama untuk menyediakan ruang iklan, agar menyiarkan senarai nama orang yang diharamkan untuk berada di lokasi perhimpunan.

Bagaimanapun, Wong Chin Huat menghubungi  MerdekaReview kemudiannya, bahawa polis tidak sempat untuk memperolehi perintah mahkamah, agar senarai tersebut boleh disiarkan pada hari esok.

Sebagaimana yang diketahui, berbeza dengan 91 nama yang terkandung dalam belasan helai kertas A4, senarai kali ini hanya memuatkan tiga helai kertas A4.  Pada 7 Julai 2011, pihak polis berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang 91 orang daripada memasuki kawasan pusat bandar Kuala Lumpur, termasuk Pengerusi BERSIH Ambiga S, Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim dan lain-lain.  Senarai tersebut juga disiarkan di media pada ketika itu.

Ketua Polis Negara Ismail Omar gagal dihubungi setakat ini untuk mengulas khabar ini.

Tindakan perlu jika perhimpunan di Dataran Merdeka

Di samping itu, menurut laporan BERNAMA, Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein berkata polis akan mengambil tindakan perlu daripada aspek keselamatan sekiranya penganjur tetapi berdegil untuk meneruskan niat mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka pada hujung minggu ini.

"Kita sudah bertolak ansur dan telah memberikan alternatif kepada mereka untuk mengadakan perhimpunan di tempat lain.. jika mereka berdegil jadi terserah kepada polis (untuk ambil tindakan perlu)," kata Hishammuddin Hussein (gambar kiri).

Beliau berkata polis bertanggungjawab memastikan ketenteraman awam terpelihara dan tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

"Saya harap pihak penganjur dapat berhimpun di tempat alternatif yang ditawarkan atas semangat transformasi politik dan perubahan yang dilakukan kerajaan, jadi semua pihak perlu menyumbang ke arah pembinaan demokrasi sihat dan matang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ditanya apakah tindakan yang mungkin akan dilakukan polis sekiranya perhimpunan yang dianjurkan badan bukan kerajaan yang disokong pembangkang itu tetap diadakan di Dataran Merdeka, Hishammuddin berkata "ia bergantung kepada tindakan pihak penganjur".

Katanya polis juga sudah diarahkan bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan berdasarkan kepada pengalaman berdepan perhimpunan sebelum ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini menolak permohonan penganjur untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka kerana perhimpunan itu tidak bertaraf nasional dan membabitkan kepentingan masyarakat dan menawarkan Stadium Titiwangsa di sini, Stadium Badminton dan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras sebagai lokasi alternatif.

Hishammuddin berharap pihak penganjur dapat menerima tempat yang ditawarkan kerana mereka masih mempunyai masa untuk menukar lokasi perhimpunan itu. 

*Diterjemah dan disunting dari teks asal.

Tiada ulasan: