Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) masih berdegil
kerana tidak mahu membersihkan senarai daftar pemilih walaupun didesak
oleh pelbagai pihak.
ARAU: PKR Cabang Arau akan melancarkan perhimpunan Bersih 3.0 peringkat negeri Perlis dan majlis dailog dengan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini pada 21 April ini.
Majlis pelancaran dan dialog ini dijadualkan di adakan di perkarangan rumah Haji Saidin, Kampong Long Boh, Tambun Tulang, Arau mulai jam 3.00 petang bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil.
Setiausahanya Hafessazly Hashim berkata, PKR negeri Perlis mahu melancarkan perhimpunan Bersih ini lebih awal bagi membina momentum dan membantu perhimpunan Bersih di peringkat pusat mendapat sokongan rakyat dari seluruh negara.
“Kita mahu melancarkan perhimpunan ini memandangkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) masih berdegil kerana tidak mahu membersihkan senarai daftar pemilih walaupun didesak oleh pelbagai pihak.
“Jelas SPR hanya menjadi alat dan kuda tunggangan rejim Umno-Barisan Nasional (BN) semata-matanya kerana untung nasib mereka pada pilihan raya umum ke 13 seperti nyawa ikan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Selain dari senarai pemilih yang bersih, rakyat juga menuntut reformasi undi pos, penggunaan dakwat kekal, masa berkempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, mengukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan menghentikan politik kotor.
Di antara pemimpin Pakatan Rakyat dijangka turut hadir ialah Setiausaha Agung PKR, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail; Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Ustaz Hashim Jasin; Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis, Ruslee Eizan; Senator Saiful Izham dan Senator Mustafa Kamal.
Seluruh warga Sarawak
Sementara itu di KUCHING, pihak penganjur sedang membuat persiapan rapi untuk melancarkan Perhimpunan Bersih 3.0 peringkat negeri Sarawak bertepatan dengan tarikh perhimpunan di peringkat pusat, iaitu pada 28 April ini.
Dalam satu kenyataan media, pihak penganjur menjemput seluruh warga Sarawak hadir di perhimpunan yang dijadual di adakan di kawasan mahkamah lama dan tebingan sungai Sarawak pada hari tersebut mulai jam 2.00 hingga 4.00 petang.
Perhimpunan ini dianjurkan bagi membantah tindak tanduk kerajaan BN dan SPR yang gagal mengambil tindakan-tindakan bagi memperbetul dan memperbaiki sistem pilihan raya umum.
Menurut kenyataan itu, sebanyak 84 NGO telah membuat lapan tuntutan, khasnya pembersihan senarai daftar pemilih dari berbagai penipuan dan manipulasi serta menghentikan amalan rasuah dan politik wang.
Tetapi disebaliknya SPR bukannya mahu membersih senarai daftar nama pilihan raya tetapi telah giat melaksanakan berbagai kaedah penipuan seperti berikut:
- Menambah secara mendadak jumlah pengundi-pengundi yang haram/tidak sah (illegal voters) yang terdiri daripada warga asing melalui pemberian kad pengenalan palsu dan hak kerakyatan sewenang-wenangnya hingga menjejaskan keselamatan negara.
- Menambah secara mendadak jumlah pengundi pos (postal voters) yang tidak wujud atau pengundi hantu (phantom voters).
- Membolehkan ramai pengundi palsu (fake voters) untuk mengundi sehingga dua atau tiga kali, di mana seseorang memiliki lebih dari satu kad pengenalan yang berlainan nombor atau dua orang yang berlainan memiliki kad pengenalan masing-masing tetapi berkongsi nombor kad pengenalan yang sama, bermakna undi yang lebih adalah palsu atau seorang daripada mereka adalah pengundi palsu.
- Mengurangkan jumlah pengundi tulin (genuine voters) dengan mengeluarkan/memadamkan nama-nama pengundi dari daftar nama (electoral roll), atau memindahkan pengundi-pengundi dari kawasan-kawasan mereka ke kawasan-kawasan lain tanpa pengetahuan mereka.
- Menukar peti undi yang sah dengan peti undi yang palsu (switching of ballot boxes) sebelum perkiraan undi dimulakan di pusat-pusat pembuangan undi/pengiraan undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan