Isnin, 23 April 2012

Pemuda Umno bidas Kerajaan Selangor

Wartawan Sinar Harian

Setiausaha Pemuda Umno Selangor, Zurihan Yusof
SHAH ALAM - Pergerakan Pemuda Umno membidas Kerajaan Negeri Selangor kerana tidak bersungguh-sungguh melaksanakan pendi­dikan percuma kepada rakyat negeri ini apabila tidak mahu memansuhkan pinjaman Pelajaran Negeri Selangor (SUK).

Setiausaha Pemuda Umno Selangor, Zurihan Yusof berkata, Selangor yang diterajui pakatan pembangkang perlu membuktikan bahawa mereka boleh memberi pendidikan percuma apabila mendesak Kerajaan Pusat memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
 
Katanya, isu menghapuskan PTPTN dan menggantikan dengan pendidikan percuma hingga ke universiti adalah satu lagi taktik kotor pembangkang untuk menarik sokongan muda terutama mahasiswa di institusi pengajian tinggi.
 
“Selangor boleh mula dulu (memberi pendidikan percuma). Kalau negeri ini boleh buat, tentu Kerajaan Pusat tidak ada masalah untuk memansuhkan PTPTN. Kalau itu pun dia tak boleh buat, ternyata pakatan pembangkang cakap tidak se­rupa bikin dan hanya mema­nipulasi isu untuk menarik so­kongan muda,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Exco Selangor, Dr Halimah Ali bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak berhasrat untuk memansuhkan pinjaman Pelajaran Negeri Selangor (SUK).
 
Halimah sebelum itu mengulas desakan bekas pelajar yang mahu pinjaman itu ditukar kepada biasiswa selaras dengan desakan pembangkang untuk menghapuskan pinjaman PTPTN dan jika mahu menjaga kebajikan rakyat.
 
Zurihan yang juga Ketua Pemuda Umno Kuala Langat ber­kata, alasan Halimah bahawa pinjaman Pelajaran Negeri Se­langor (SUK) tidak menge­na­kan faedah juga dangkal kerana PTPTN juga tidak ada ba­yaran faedah, sebaliknya kos pengurusan.
 
“Ternya­ta tidak ada beza antara PTPTN dan pinjaman Pelajaran Ne­geri Selangor (SUK). Oleh itu Ke­ra­jaan Selangor perlu meman­suhkan pinjaman itu kerana mem­bebankan pelajar yang memin­jam untuk membayar balik,” katanya.

Tiada ulasan: