Aktivis 'Occupy Dataran' terus 'duduk' di lokasi bersejarah itu atas alasan mahu memperjuangkan Dataran Merdeka sebagai ruang terbuka dan hak rakyat untuk berbincang dan berdemokrasi.
Mereka mendirikan enam lagi khemah dan tiga khemah untuk menyimpan barang-barang.
Pihak berkenaan mengadakan kelas agama yang disampaikan oleh Ustaz Wan Ji pada jam 10 malam tadi.
Sidang rakyat bersama peserta-peserta diteruskan seperti biasa setiap malam selepas kuliah.
"Kami menghormati Konsert Diraja Yang di-Pertuan Agong yang berlangsung pada esok malam (hari ini). Tetapi kami tetap berhimpun di sini seperti biasa.
"Kami tidak mengganggu ketenteraman awam. Kami mengadakan kuliah dan sidang rakyat setiap malam secara percuma," ujar aktivis sosial 'Occupy Dataran', Fahmi Reza.
Persembahan kesenian 'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada' di Dataran Merdeka berlangsungb malam esok.
Sementara itu, seorang lagi aktivis, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Malaysia Bangkit berkenaan isu memprotes PTPTN telah beredar sejak petang semalam demi menghormati Konsert Diraja Yang di-Pertuan Agong.
Mereka akan kembali berkhemah esok.
"Sudah masuk tujuh hari kami berhimpun di sini. (Dataran Merdeka), berdemonstrasi mengenai PTPTN secara aman tanpa mengganggu ketenteraman awam.
Diarahkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menurunkan khemah sudah berkali-kali tetapi kami tetap setia di sini.
"Kami diserang sekumpulan samseng kira-kira 50 orang pada hari kelima merupakan detik hitam yang tidak boleh dilupakan.
"Saya harap pihak polis dapat ambil tindakan pada samseng-samseng itu.
"Kami masih memprotes berkenaan isu pemansuhan PTPTN dan menuntut pendidikan percuma. Kami masih menunggu respons daripada kerajaan. Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mempunyai satu matlamat iaitu memperjuangkan nasib mahasiswa di Malaysia," kata Pengerusi Malaysia Bangkit, Mohd Syahid Zaini kepada wartawan Sinar Harian Online.
Katanya, "kami akan terus menunggu sehingga 28 April ini (pada hari Bersih 3.0 mengadakan perhimpunan)."
Apabila ditanya sama ada isu mahasiswa ini melibatkan politik beliau menjawab, "kami tidak melibatkan isu ini (PTPTN) dengan politik."
"Ramai yang beranggapan kami melibatkan politik. Sebenarnya tidak. Kami sebagai mahasiswa memperjuangkan protes PTPTN ini bersama.
"Memang ramai pemimpin pembangkang yang datang melawat kami dan memberi sumbangan. Kami tidak kisah, sesiapa sahaja yang menyokong usaha kami, tidak kira pihak kerajaan atau pembangkang.
"Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang memberi sumbangan berupa makanan, minuman, khemah dan tikar.
Juga penceramah, pensyarah dan ahli politik yang sudi hadir menjayakan kuliah dan menurunkan tanda tangan pada kain rentang kami tanda sokongan 'Universiti Dataran Merdeka' secara percuma di sini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan