Sabtu, 28 April 2012

Nasib Bersih 3.0 sama seperti sebelumnya

 
Kenyataan awal Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa Bersih 3.0 tidak mengancam keselamatan kini bertukar sindiran dan dipandang sinis.




PETALING JAYA: Bersih 3.0 menghadapi masalah sama seperti dua siri sebelumnya. Lokasi pilihan Bersih 3.0, Dataran Merdeka tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kenyataan awal Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa Bersih 3.0 tidak mengancam keselamatan kini bertukar menjadi sindiran dan dipandang sinis.

Polis telah mendapat perintah mahkamah menghalang penganjur dan orang ramai berkumpul di Dataran Merdeka.

Perintah mahkamah bermakna pihak keselamatan boleh bertindak menahan mana-mana individu yang melanggar arahan tersebut.

Bersih 3.0 dengan kempen duduk dan bantah yang mulanya kelihatan  mudah dan lancar tiba-tiba menjadi sebaliknya.

Hujah yang digunakan untuk menggagalkan Bersih 3.0 ialah faktor lokasi. Pihak berkuasa berhujah Dataran Merdeka tidak sesuai kerana ia untuk acara nasional sahaja.

Alasan sebegini merupakan ulangan kepada dua siri Bersih sebelum ini iaitu menghantar memorandum ke Istana Negara.

`Tindakan tidak ikhlas’

Walaupun pada mulanya kerajaan mencadangkan tempat lain tetapi penganjur pula menolak atas alasan Dataran Merdeka yang terbaik.

Meskipun Hishammuddin tidak mengiytiharkan Bersih 3.0 haram tetapi tindakan mahkamah itu sekaligus `mengharamkan’ perhimpunan menuntut pilihanraya bebas dan adil.

Pemuda PKR menganggap keputusan polis mendapat perintah mahkamah itu sebagai perancangan kerajaan dari awal lagi untuk menggagalkan Bersih 3.0.

“Mencerminkan tindakan yang tidak ikhlas…jika tidak mahu berkompromi perlulah dibuat dari awal supaya tidak membuang masa turun naik berunding.

“Menteri (Hishammudin) takut sokongan rakyat…” kata Timbalan Ketua Penerangan, Rozan Azen Mat Rasip.

Bagaimanapun, kira-kira 10,000 ahli muda PKR akan tetap turun ke enam lokasi yang telah ditetapkan.

Tiada ulasan: