Ahad, 8 April 2012

Malaysia dan ASEAN perlu mempercepatkan pelaksanaan kecekapan tenaga

Piarapakaran S


Pelaksanaan kecekapan tenaga (Energy Efficiency - EE) di seluruh dunia dihadkan oleh pelbagai faktor. Walau bagaimanapun, permintaan sumber tenaga yang semakin meningkat telah menjadi sebab utama yang mendorong pelaksanaan kecekapan tenaga. Tambahan pula, menjadi cekap tenaga bukan sahaja dapat mengurangkan kos operasi tetapi menambah perspektif "mesra alam" kepada perniagaan. Beberapa negara juga telah memperkenalkan kaedah cukai pelepasan karbon untuk tambah nilai dan mempercepatkan perkembangan bidang EE.

AWER telah memilih beberapa ekonomi utama di Asia Pasifik (Australia, China, Hong Kong, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand) dan semua anggota ASEAN bagi tujuan pengumpulan dan analisa data untuk menyediakan status asas pelaksanaan EE merentasi negara-negara ini. Kajian ini adalah sebahagian daripada Projek Pembuatan dan Penggunaan Lestari (Sustainable Production and Consumption) yang ditaja oleh Suruhanjaya Tinggi British (British High Commission), Kuala Lumpur.

PENGGUNAAN TENAGA DAN PELEPASAN KARBON

Jadual 1 menunjukkan petunjuk-petunjuk pelepasan karbon baginegara-negara Asia Pasifik yang terpilih dan ASEAN. Penggunaan tenaga adalah berkadar secara langsung dengan pelepasan karbon dioksida (CO2). Daripada jadual ini, kita dapat lihat bahawa penggunaan tenaga dan pelepasan karbon sesebuah negara berkait rapat dengan tahap pendapatan dan status pembangunannya. Negara-negara maju dan negara-negara berpendapatan tinggi menggunakan lebih banyak tenaga dan elektrik serta menyebabkan pelepasan karbon yanglebih tinggi.

Dasar dan undang-undang EE mesti dirancang dan dilaksanakan dengan teliti kerana tidak semua penyelesaian EE negara maju boleh terus digunakan sebagai "acuan" dalam ekonomi membangun dan ekonomi kurang membangun.

KERANGKA PERUNDANGAN KECEKAPAN TENAGA

Negara-negara maju mempunyai kerangka undang-undang yang lebih luas melalui pelbagai dasar, undang-undang dan insentif. Brunei, Kemboja, dan Laos masih dalam usaha untuk membangunkan undang-undang yang berkaitan dengan EE. Myanmar pula tidak mempunyai undang-undang yang berkaitan dengan bidang ini. Secara tidak langsung, negara-negara membangun yang biasanya menjadi hub pembuatan (manufacturing hub) pelbagai industri dari negara-negara maju juga telah menerima pakai dasar-dasar dan undang-undang untuk meningkatkan pelaksanaan EE tempatan.

Sebagai contoh, program Top Runner oleh Jepun telah menambah baik prestasi EE untuk pelbagai produk domestik di Jepun dan telah memperkenalkan produk baru kepada dunia dengan harga yang kompetitif. Ini adalah satu contoh terpilih bagaimana program tempatan mempengaruhi pasaran dunia. Negara-negara seperti Thailand, Malaysia, Vietnam dan China di mana hub pembuatan elektrik dan elektronik tertumpu juga terpengaruh daripada program sebegini. Walau bagaimanapun, ia terpulang kepada pentadbiran negara itu sendiri untuk mengikuti perubahan global seperti ini. Di Malaysia, kita masih di peringkat awal pelaksanaan EE. Percanggahan fungsi-fungsi di antara agensi-agensi kekal sebagai penghalang utama dan penubuhan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Sustainable Energy Development Authority - SEDA) telah memburukkan lagi keadaan ini.

Standard dan PELABELAN UNTUK KECEKAPAN TENAGA

Keutamaan perlu diberikan kepada standard dan pelabelan untuk mewujudkan pencapaian EE bagi pelbagai produk, proses dan perkhidmatan. Kegagalan dalam melaksanakan kedua-dua standard dan pelabelan akan menyebabkan dakwaan yang meragukan dan mengelirukan pengguna (termasuk entiti perniagaan).

Berdasarkan laporan-laporan terperinci dan kajian kes-kes yang dikaji oleh AWER, kami dapat membuat kesimpulan bahawa gabungan pelabelan secara mandatori dan sukarela (voluntary) serta dengan Piawaian Minima Prestasi Tenaga (Minimum Energy Performance Standard - MEPS) adalah penting untuk menghalang produk tidak cekap tenaga daripada memasuki pasaran.

MEPS adalah tahap prestasi minimum yang ditetapkan bagi pelbagai jenis produk. Melalui piawaian mandatori ini, kemasukan produk tidak cekap tenaga ke pasaran dapat dihentikan. Hanya 8 daripada 17 negara yang telah kami kaji telah melaksanakan MEPS. Korea Selatan dan China merupakan ekonomi yang menerajui dalam pelaksanaan MEPS. Malaysia masih TIDAK MEMPUNYAI MEPS sehingga kini.

Pelabelan mandatori biasanya dilaksanakan bagi peralatan dengan penggunaan tenaga yang tinggi atau untuk peralatan yang digunakan dalam kuantiti yang besar atau peralatan yang digunakan untuk satu tempoh masa yang panjang. Korea Selatan telah menerajui amalan pelabelan mandatori bagi membantu pengguna untuk memilih produk-produk yang sesuai. Secara tidak langsung, ia membolehkan pembangunan teknologi produk dan modal insan. Produk yang tertakluk kepada MEPS tetapi tidak tertakluk di bawah pelabelan mandatori boleh dibenarkan untuk menggunakan pelabelan sukarela.

KESIMPULAN


Perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik boleh membantu mempercepatkan pelaksanaan EE di Malaysia dan negara-negara ASEAN. Antara perkara-perkara yang memerlukan tindakan segera adalah:

i. Mengurangkan jurang di antara peralatan yang mempunyai pelabelan dan yang tiada label serta dengan MEPS di rantau ASEAN. Ini adalah penting untuk mencegah produk tidak cekap tenaga dilonggokan ke negara-negara yang tidak melaksanakan pelabelan dan MEPS.

ii. Piawaian Minima Prestasi Tenaga (MEPS) Global harus dibangunkan sebagai penanda aras asas (basic benchmark) bagi EE. Setiap negara boleh menerima pakai penanda aras ini dan boleh melaksanakan MEPS yang lebih ketat untuk negara masing-masing. MEPS adalah cara yang paling berkesan untuk menghentikan produk yang tidak cekap tenaga daripada dijual di pasaran dan ia adalah lebih mudah untuk dilaksanakan untuk pelbagai produk dalam tempoh masa yang singkat.

iii. Bilangan negara yang mempunyai program yang khusus untuk menangani isu penggunaan tenaga semasa mod-sedia (stand-by mode) adalah terhad. Dalam dunia teknologi maklumat (IT) dan komputer, penggunaan elektrik semasa mod sedia semakin melonjak. Maka, kumpulan produk ini dan pembangunannya memerlukan fokus yang lebih tinggi.

iv. Petunjuk untuk pemantauan pencapaian EE mesti diseragamkan di peringkat antarabangsa. Ini adalah untuk memastikan semua negara boleh mengambil bahagian dan bersaing secara aktif untuk meningkatkan pencapaian mesra alam. Petunjuk-petunjuk yang berlainan akan menyebabkan perbezaan dalam laporan dan menimbulkan kesulitan untuk memantau pencapaian EE serta ia akan mengelirukan orang ramai dan peniaga dalam mengamalkan EE.

v. Negara-negara membangun mesti memberi tumpuan untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga bagi mengelakkan peningkatan penggunaan tenaga seiring dengan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pengoptimuman melalui EE boleh membantu negara-negara membangun untuk mencapai KDNK yang lebih tinggi dengan peningkatan minimum dalam penggunaan tenaga. Langkah sedemikian perlu menjadi sebahagian daripada proses pembangunan. Negara-negara ASEAN tidak seharusnya memulakan pengoptimuman tenaga hanya apabila berada di kemuncak pembangunan ekonomi mereka.

Berdasarkan lengkungan kos pengurangan gas rumah hijau global (Global GHG abatement costcurve), EE berada di bawah sektor tiada pelaburan atau kurang pelaburan. Banyak audit-audit tenaga dan kajian telah memberikan trend yang hampir sama. Ini bermakna bahawa pelaburan dalam bidang EE mempunyai pulangan segera dan tidak membazirkan. Untuk sektor perniagaan, risiko melabur dalam EE adalah agak rendah juga. Meyakinkan orang awam dan perniagaan tentang penjimatan kos dan faedah kepada alam sekitar melalui pelaksanaan EE memerlukan satu pendekatan yang lebih berkesan. AWER telah memulakan proses ini di Malaysia melalui LowCO2 Tool kami, iaitu Tangkap si Pencuri yang membantu sektor domestik, komersial, industri dan lain-lain untuk menjalankan audit tenaga yang mudah. Audit tenaga ini memberi tumpuan kepada penggunaan elektrik untuk mendapatkan kos dan jumlah pelepasan karbon. Ia boleh digunakan secara PERCUMA di www.click.org.my.

Jom CLICK kepada Gaya Hidup Rendah Karbon melalui Kecekapan Tenaga!



Jadual 1: Data Penggunaan Tenaga, Pelepasan Karbon, Standard dan Pelabelan bagi Negara-negara Asia Pasifik yang terpilih dan ASEAN yang dikumpulkan oleh AWER

n.a.: Tiada maklumat, HI: Pendapatan tinggi, UMI: Pendapatan pertengahan atas, LMI: Pendapatan pertengahan bawah, LI:Pendapatan rendah, CO2: Karbon Dioksida, MEPS: Piawaian Minima Prestasi Tenaga, <1>- Sumber dari Bank Dunia

*Piarapakaran S. ialah Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).

Tiada ulasan: