Sabtu, 7 April 2012

Khir Toyo: Lagi tangguh PRU, lagi banyak perhimpunan BERSIH

Lim Hong Siang


Bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo meramalkan tarikh pilihan raya umum ke-13 pada Jun 2012, meskipun perkembangan terbaru menyaksikan perhimpunan BERSIH 3.0 (bersama Himpunan Hijau 3.0) pada 28 April bakal memberi impak yang besar kepada UMNO-Barisan Nasional.

"Himpunan BERSIH ni, kalau you tangguh (PRU 13), lebih banyak lagi himpunan BERSIH yang ada. The more himpunan akan ada," kata Khir Toyo (gambar kanan). Malah, Khir Toyo berkongsi bacaannya bagaimana perhimpunan BERSIH dijadikan strategi Pakatan Rakyat untuk mengerah sokongan massa.

"Pertama, mereka mengundang Ambiga (Sreenevasan) untuk memimpin BERSIH, untuk menarik sokongan golongan profesional. (Ambiga ialah) Bekas Presiden Majlis Peguam. Sekarang mereka guna A.Samad Said, untuk dapatkan sokongan cendekiawan. Phd, profesor semua hormat dia (A.Samad Said). Kalau pilihan raya lewat diadakan, dia akan adakan BERSIH 4. Akan diketuai pemimpin mahasiswa. Generasi muda," menurutnya.

Khir Toyo berkata sedemikian dalam satu wawancara bersama MerdekaReview di pejabatnya, semalam. Beliau mendakwa setakat ini segala-galanya berjalan dengan baik, misalnya Perdana Menteri Najib Razak membuat keputusan yang baik untuk mengawal harga minyak, jikalau dibandingkan dengan kekecohan yang disaksikan di Indonesia apabila harga minyak naik. Ketika ditanya bahawa banyak isu dan masalah yang belum selesai setakat ini, lantas beliau jawab, "Isu tak akan selesai."

Apabila ditanya mengenai isu National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang dilihat memberi tekanan yang amat besar terhadap UMNO, sehingga Shahrizat Abdul Jalil terpaksa melepaskan jawatan menterinya, Khir Toyo sekadar berkata, "(Kes ini) Sudah diambil tindakan..."

Beliau memperingatkan, apapun yang dilakukan, tidak ada kerajaan yang sempurna. Malah Khir Toyo umpamakan kerajaan dengan suami dan isteri, mempersoalkan apakah wujudnya suami atau isteri yang sempurna? Lebih-lebih lagi, ketidaksempurnaan pasangan anda akan tertonjol selepas berkahwin, katanya.

Perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 menyaksikan lautan manusia mencecah lebih 50 ribu orang. Cara polis dan FRU menyuraikan perhimpunan tersebut telah mengundang kritikan, malah dikatakan menjejaskan persepsi rakyat terhadap kerajaan, sehingga populariti Najib Razak selaku PM merudum kepada 59%, berbanding 72% dalam tinjauan sebelum itu. Umum melihat kerajaan Najib mengambil masa untuk memperbaiki imejnya yang tercalar lantaran perhimpunan BERSIH 2.0.

Parlimen perlu dibubarkan sebelum akhir April 2013, dan UMNO bakal mengadakan pemilihan partinya sebelum Mac 2013. Justeru itu, PRU 13 dijangka berlangsung sebelum Mac 2013. September 2012 menjadi tarikh yang hangat dibincangkan sekarang, menggantikan Jun 2012 yang diramalkan sebelum ini.

Bagaimanapun, Khir Toyo tetap meramalkan Jun 2012. Beliau mendakwa dirinya sempat berjumpa dengan Najib baru-baru ini, dan ketika ditanya sama ada isyarat diberikan oleh Najib mengenai tarikh pilihan raya, Khir menjawab, "Melihat kepada cara beliau (Najib) bekerja, dan bagaimana Tan Sri Muhyiddin kerja sekarang, dan kesemua parti komponen BN, saya rasa sekitar Jun."

UMNO yang tentukan, bukan Daim

Khir Toyo mengakui bahawa cabaran paling besar buat UMNO-BN kini adalah undi dari bukan Melayu dan golongan pemuda. Mengimbas PRU 12, beliau mendakwa bahawa BN hanya kehilangan 2% hingga 5% undi Melayu, tetapi undi bukan Melayu hilang lebih 70%. Hampir semua kerusi bandar hilang, melainkan Pandan (kerusi parlimen) yang dipertahankan BN di Selangor.

Menurutnya, golongan berumur 50 tahun ke atas telah membuat keputusan parti mana yang ingin diundi; sementara golongan berusia 30 tahun ke bawah tidak kisah sama ada kerajaan ditukar atau tidak. Golongan berusia antara 30 hingga 50 tahun inilah yang masih belum membuat keputusan, dan golongan ini jugalah cabaran terbesar buat BN. Meskipun memuji pimpinan Najib sama ada di peringkat negeri mahupun negara, namun pemerhatian Khir Toyo turut mendapati, orang ramai yang hadir ke majlis Najib kebanyakannya berusia 50 tahun ke atas, sama ada di Puchong, Shah Alam, Hulu Selangor dan sebagainya.

Khir Toyo berkata, polisi Najib misalnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan pemberian tunai RM500 kepada keluarga yang berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah memberi kesan yang besar. Sungguhpun demikian, Khir Toyo menganggap Najib mungkin akan mengumumkan sesuatu, yang menyasarkan pengundi bandar sebelum PRU 13.

Sebelum ini, bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin ketika ditemuramah Sin Chew Daily, berkata seandainya Najib kehilangan lebih kerusi dalam PRU 13 berbanding PRU 12, maka beliau terpaksa berundur dari jawatannya. Apabila kenyataan ini diajukan kepada Khir Toyo, ditambah dengan andaian jika BN bawah pimpinan Najib gagal menawan semula Selangor, apakah Najib perlu berundur?

Khir Toyo bagaimanapun cuba elak menyatakan pendirian dengan "enggan membuat andaian keputusan PRU 13", tetapi berkata perhimpunan agong UMNO akan datang yang bakal menentukan sama ada Najib perlu berundur atau tidak, bukan Daim Zainuddin.

Belum menonjolkan, bukan gagal menonjolkan

Dalam satu wawancara bersama Malaysian Insider sebelum ini, Khir Toyo mendakwa bahawa BN tidak memiliki calon Menteri Besar yang sesuai untuk mencabar Khalid Ibrahim dari Pakatan Rakyat. Namun, dalam wawancara bersama MerdekaReview pada 5 April, beliau memperbetulkan kenyataannya, bahawa setakat ini BN "tidak tonjolkan" calon MB, bukan tiada.

Beliau bagaimanapun menyerah kepada Pengerusi UMNO di Selangor, Najib (gambar kiri) untuk memutuskan calon mana yang ingin ditonjolkan sebagai MB Selangor dalam PRU 13. Wartawan cuba memetik kritikan BN terhadap Pakatan Rakyat di peringkat persekutuan, iaitu tiada "kabinet bayangan" ditampilkan, sebagai bukti PR belum bersedia memerintah. Dengan logik yang sama, apakah ia juga menunjukkan BN belum bersedia menawan Selangor?

"Saya ingat sebelum pilihan raya, mungkin dalam masa pilihan raya, mungkin dia tonjolkan..." jawabnya.

Wartawan menyusul dengan soalan sama ada dirinya bakal bertanding dalam PRU 13? Beliau menjawab, "Saya ingat saya kena clear case saya dulu. I nak clearkan myself dulu. Even though I have right bertanding...saya masih dalam keadaan boleh merayu dua mahkamah. Tapi saya tak nak libatkan parti. Saya ingat nak bersihkan diri saya dulu. I concentrate my court case."

Dengan kata lain, Khir Toyo tidak akan menyarung jersi dalam PRU 13? "Ya, kalau lambat lagi court case. Court case saya lambat..." Beliau berkata dirinya tidak akan bertanding sehingga kesnya dibersihkan, meskipun dicalonkan Bahagian Sungai Besar. Khir Toyo, dijatuhkan hukuman penjara setahun pada Disember 2011, bagi kesalahan mendapatkan untuk beliau dan isteri, Zaharah Kechik dua lot tanah dan sebuah banglo bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta.

Kembali selepas kes dibersihkan?


Khir Toyo, 47, menyandang jawatan Menteri Besar pada Ogos 2000 pada usia 35 tahun, menggantikan Abu Hassan Omar. BN kehilangan kuasa di negeri Selangor pada 8 Mac 2008, dan Khir Toyo menyandang jawatan Ketua Pembangkang dalam DUN Selangor selepas itu. Beliau meletak jawatan Ketua Pembangkang setelah dirinya diheret ke mahkamah berhubung kes di atas.

Apakah beliau akan kembali ke persada politik seandainya berjaya membersihkan kes dirinya? Beliau pada mulanya memberi jawapan "bergantung kepada Dato Seri Najib," sebelum didesak untuk menyatakan hasrat dirinya untuk kekal "aktif dalam UMNO", sambil menambah, "tapi saya tak nak jadi Menteri Besar lagi". Khir Toyo mengambil kesempatan untuk menyiku Pakatan Rakyat, bahawa kerosakan yang sangat ketara telah dilakukan kerajaan Pakatan Rakyat, termasuk PKNS, UNISEL, KUIS (Kolej Universiti Islam Selangor) dan sebagainya.

Apabila ditanya apakah beliau berhasrat kembali ke persada politik untuk menyandang jawatan Menteri di peringkat pusat, beliau hanya senyum dan menjawab, "Saya nak jadi pemimpin UMNO biasa...untuk perkasa UMNO." (Bahagian pertama, disambung)

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia. Wawancara ini dijalankan bersama Chan Wei See, Ketua Pengarang MerdekaReview pada 5 April 2012, di pejabat Khir Toyo.

Tiada ulasan: