Sabtu, 14 April 2012

Jentera BN diarah ‘masuk gear lima’

SINAR HARIAN

undi

BUTTERWORTH – Jentera Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi parti komponen Barisan Nasional (BN) di semua peringkat perlu digerakkan dengan lebih rancak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata, ia sebagai tanda bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum pada bila-bila masa selain dapat merapatkan barisan pimpinan dan masyarakat.

"Kita sekarang ini perlu bergerak dengan kelajuan gear lima, walaupun tidak tahu bila, tetapi perlu berada pada momentum yang telah ditetapkan. Bersiap sedia pada bila-bila masa," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran jentera PRU-13 Pemuda Pemudi Kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun) Perai dan majlis jamuan mesra rakyat di Kampung Manis di sini, hari ini.

Katanya, jentera PRU-13 juga boleh dilancarkan di peringkat bahagian, cawangan dan kawasan-kawasan peti undi dan ia boleh dilancarkan secara berperingkat dan bergilir-gilir.

"Bila telah dilancarkan bilik gerakan boleh terus memulakan operasi dan memulakan aktiviti mereka, boleh juga naikkan bendera-bendera BN di rumah atau di bilik gerakan asalkan ia tidak mengganggu," katanya.

Selain itu, beliau berkata pemimpin BN akan memberi penerangan dan penjelasan kepada masyarakat setempat tentang usaha kerajaan dalam memajukan

negara dan pada masa yang sama tidak mengabaikan keperluan dan kepentingan rakyat untuk mendapatkan kehidupan yang selesa.

"Rakyat perlu faham dan tahu bahawa hanya kerajaan BN sahaja yang mampu memberikan kebajikan kepada rakyat dan kemakmuran dan kemajuan kepada negara," katanya. – Bernama

Tiada ulasan: