Isnin, 23 April 2012

Isu PTPTN: 'Negara belum cukup kaya'

Wartawan Sinar Harian

Suara pelajar yang minta diberikan pendidikan percuma.
GNI per kapita tahun 2006 sampai dengan 2010 dalm AS$ menurut Bank Dunia dan leputusan bancian
 “Jangan bandingkan Malaysia dengan negara lain, kita belum cukup kaya,” kata Profesor Ekonomi di Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Amir Baharuddin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah Malaysia mampu menyediakan pendidikan percuma kepada rakyatnya bermula dari peringkat tadika sehinggalah pengajian ijazah pertama.
 
Beliau berkata, negara yang mampu memberi pendidikan percuma kepada rakyatnya seperti Sweden, Norway dan Findland kerana negara berkenaan kaya.
 
“Rakyat mereka sendiri kaya jika hendak dibandingkan dengan rakyat Malaysia. Rakyat kita yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan sahaja 70 peratus, bagaimana kita hendak kata kita kaya. Kita belum cukup kaya,” katanya.
 
Mengulas mengenai pendapatan per kapita Malaysia yang perlu dicapai bagi membolehkan negara menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat, Amir berkata, jumlah tersebut perlu mencapai AS$44 ribu.
 
“Bayangkanlah, AS$44 ribu. Sedangkan melihat faktanya, sehingga 2020 kita baru mampu mencapai pendapatan perkapita setiap seorang RM44 ribu. Masih terlalu jauh,” katanya.
 
“Cukai pendapatan semua (korporat dan individu) perlu dinaikkan kepada 50 peratus. Bila ini boleh dilakukan, barulah pendidikan percuma boleh dilaksana. Persoalannya kini, mahukah kita?”

Menyentuh kesanggupan rakyat kita membayar cukai sekiranya dinaikkan, Amir berkata, logiknya tiada siapa yang mahu membayar lebih.
 
“Berdasarkan rekod 2011, hanya 1.5 juta sahaja membayar cukai daripada jumlah 4.8 juta yang sepatutnya dan layak membayar cukai, tetapi tidak melaksanakan tanggungjawab. Inikan pula mahu dinaikkan 50 peratus lagi.
 
“Kalau nak kutip cukai pun sukar, bagaimana mahu memberikan pendidikan percuma,” katanya.
 
Menyentuh demonstrasi di kalangan mahasiswa yang menuntut pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) dimansuhkan, Amir menyifatkan ia se perbuatan ‘orang nakal’.
 
“Kita perlu fahami dahulu keadaan ekonomi negara sendiri, sebelum bandingkan dengan negara lain. Bandingkan pendapatan rakyat kita dulu sebelum buat tuntutan seperti negara lain yang layak,” katanya.
 
Ditanya adakah Malaysia masih gagal mencapai pendapatan yang membolehkannya memberi pendidikan percuma kepada rakyat berpunca daripada rasuah, beliau memberitahu, ia perkara yang berbeza.
 
“Jangan samakan rasuah dengan memberi pendidikan percuma. Rasuah tiada kena-mengena soal memberi pendidikan percuma kepada rakyat, tetapi kedudukan kekayaan setiap rakyat ada kaitan,” katanya.

Berdasarkan carta Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa 2010, Malaysia berada pada kedudukan ke-56 dengan skala 4.4 daripada 10 skala.
 
Amir berkata, dalam pelbagai usaha yang seharusnya dilakukan bagi meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia, salah satunya adalah mewujudkan kestabilan politik.

Tiada ulasan: