Jumaat, 27 April 2012

Hisham: Apa pun berlaku esok, tugas saya selesai

Menyifatkan perhimpunan BERSIH 3.0 esok sebagai hari negara akan diuji, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerajaan telah melakukan segala-galanya untuk menghadapi apa jua yang akan berlaku.

NONE"Kita akan diuji esok dan semua orang perlu bertanggungjawab. Adakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melakukan secukupnya untuk menunjukkan beliau serius membawa pembaharuan?

"Esok adalah hari yang besar, tetapi hati nurani saya jelas. Saya telah lakukan semua yang saya boleh sebagai Menteri Dalam Negeri dan Najib telah melakukan semua yang beliau boleh untuk membawa pembaharuan," kata Hishammuddin dalam satu taklimat media khas di ibupejabat polis Bukit Aman petang ini.

Bercakap kepada kira-kira 30 editor akhbar, beliau berkata, apa-apa jua boleh berlaku esok dan NGO-NGO tulen yang mahu mendapat manfaat daripada pembaharuan yang dibawa oleh perdana menteri, akan rugi terutamanya jika ahli politik merampas perhimpunan BERSIH 3.0.

Tindakan polis esok, tambahnya, akan bergantung kepada apa yang penganjur BERSIH 3.0 putuskan pada hari protes dan bergantung kepada keadaan.

Hishammuddin berkata, beliau agak kecewa kerana menurutnya BERSIH nampaknya menolak setiap peluang yang telah diberikan kepada mereka.

Beliau merujuk lokasi alternatif  yang ditawarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada BERSIH untuk mengadakan perhimpunannya esok.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan BERSIH 3.0 diadakan di Dataran Merdeka tetapi pihak penganjur perhimpunan itu bertegas untuk mengadakan perhimpunan duduk bantah di situ.

Bagaimanapun, berikutan perintah mahkamah yang diperolehi oleh pihak polis awal hari ini melarang semua pihak berkumpul di dataran bersejarah itu, maka penganjur BERSIH 3.0 berkata mereka akan mematuhinya tetapi akan cuba berada seberapa hampir yang mungkin ke Dataran Merdeka.

Tiada ulasan: