SHAH ALAM : Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tidak mengizinkan perhimpunan BERSIH 3.0 diadakan di Dataran Merdeka pada 28 April ini membuktikan kepincangan sistem demokrasi di negara ini.
Malah alasan Dataran Merdeka hanya dikhaskan untuk acara nasional tidak menunjukkan kematangan serta mentaliti pegawai atasannya masih ditakuk lama.
Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr Idris Ahmad berkata, demikian dalam satu kenyataan media berhubung penolakan DBKL terhadap perhimpunan BERSIH 3.0.
Beliau berkata, perhimpunan BERSIH 3.0 merupakan satu acara nasional kerana ia melambangkan aspirasi dan keinginan rakyat Malaysia yang mahukan pilihanraya umum diadakan secara adil dan bebas.
“Ia juga meminta kerajaan melakukan lapan perubahan penting bagi melindungi pengundi yang berpaksikan demokrasi. Bukankah perhimpunan ini satu acara nasional?” katanya.
Jelasnya, dakwaan DBKL perhimpunan BERSIH 3.0 akan mengganggu perniagaan di sekitar Dataran Merdeka juga tidak tepat.
“Tiada premis perniagaan berhampiran Dataran Merdeka.
“Perhimpunan ini bakal disertai rakyat berbilang kaum yang cintakan keadilan dari seluruh pelusuk negara,” katanya.
Sehubungan itu katanya, maka amat wajar DBKL mengizinkan Dataran Merdeka digunakan kerana ia perhimpunan nasional cuma perbezaannya acara itu tidak mendapat sokongan Kerajaan Pusat.
“Jika selama ini DBKL meluluskan pertunjukan hiburan seperti konsert dan sambutan lain yang bukan bertaraf acara kebangsaan, maka amat tidak wajar jika DBKL tidak mengizinkan perhimpunan ini,” katanya.
Justeru, beliau menyeru kebijaksanaan Datuk Bandar DBKL untuk mengizinkan perhimpunan ‘Duduk, Bantah’ ini diadakan di Dataran Merdeka.
“Ini kerana ia bukan perhimpunan politik dan perhimpunan ini juga adalah hak dan kebebasan rakyat yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan