Isnin, 30 April 2012

Ganas: Najib, Hishamuddin, KPN letak jawatan

Harakahdaily,



(Gambar dari video bagaimana seorang peserta dibelasah kerana melemparkan kon ke atas jalan raya...klik video dihujung berita untuk melihat video)


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Hishamuddin Hussien dan Tan Sri Ismail Omar meletak jawatan ekoran tindakan polis membelasah peserta perhimpunan Bersih 3.0 hari Sabtu lepas.

Menurut ketua penerangannya Riduan Mohd Nor, tindakan pihak keselamatan pada hari tersebut amat keterlaluan mirip perlakuan tentera Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

"DPPM mendesak agar Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara bertanggungjawab ke atas isu ini dengan meletak jawatan serta merta. .

"Mereka jelas telah gagal mengawal anggota bawahannya dengan baik sehingga ramai orang awam termasuk wartawan yang tercedera dipukul. PDRM gagal mengenal pasti yang mana rakyat bawahan yang perlu dilindungi, dan yang mana penjenayah yang perlu diperangi," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Riduan apa yang disaksikan melalui video yang diambil oleh orang ramai membuktikan bahawa pihak polis yang terlebih dahulu membuat provokasi dan membelasah orang ramai yang ditangkap dengan sesuka hati.

Mereka juga jelas Riduan bertindak ganas menangkap dan memukul peserta Bersih dua jam selepas perhimpunan bersurai.

Selain daripada itu, polis dan FRU juga bertindak melepaskan gas pemedih mata serta air kimia kepada orang ramai yang berkumpul di Masjid Jamek, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), SOGO, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Menara Maybank.

Polis juga merampas, memukul dan mencederakan beberapa orang wartawan yang merakam aksi keganasan mereka.

Malah ujarnya ramai saksi melihat bagaimana kereta polis melanggar orang awam yang sedang berjalan di kaki lima SOGO.

"Tindakan kejam pihak polis menunjukkan bahawa PDRM dan kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) mungkir janji untuk memberikan laluan terhadap perhimpunan aman duduk bantah ini meskipun pada awalnya mereka memberikan janji untuk membenarkan perhimpunan ini berlangsung.

"Jika orang awam yang ditohmah menceroboh Dataran Merdeka menjadi sebab tindakan ganas polis, mengapa orang ramai lain yang berkumpul di lokasi luar dari Dataran Merdeka menjadi mangsa?

Mengapa ribuan orang awam lain mesti menjadi mangsa keganasan ini? Sepatutnya mereka yang menceroboh Dataran Merdeka sahaja ditangkap, bukan mereka yang berkumpul di merata-rata kawasan lain," katanya.

LAPORAN BERKAITAN


Klik untuk melihat Video peserta perhimpunan di belasah

Lagi video peserta dibelasah

Polis serang perserta himpunan ke Masjid India

Tiada ulasan: