Hazayani Zakaria, | |
KUALA LUMPUR: Golongan muda harus mengambil bahagian dalam 'Duduk Bantah' pada 28 April ini bagi menuntut pilihan raya bersih jika cintakan negara ini.
Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Datuk A. Samad Said (gambar) berkata, apa yang dilakukan gabungan ini adalah untuk masa depan golongan muda.
"Anda semuanya mengetahui bahawasanya 28 April ini kita adakan satu gerakan untuk membersihkan lunas-lunas demokrasi dengan melakukan "Duduk Bantah' dan 'Duduk Bantah' ini memang untuk semuanya.
"Saya harap pun semua (peringkat umur) akan datang tapi khususnya saya mengharapkan angkatan muda kerana apa yang kami lakukan ini adalah untuk masa depan angkatan muda. Angkatan muda sendiri harus mengambil perhatian dan memberikan sokongan yang sepenuhnya," kata sasterawan negara itu yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad ketika ditemui di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), dekat sini hari ini.
Pak Samad yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-77 Isnin lalu juga berkata, beliau tidak keberatan untuk membacakan kembali puisinya "Unggun Bersih" pada perhimpunan tersebut.
"Itu tidak mustahil kalau iklim dan suasananya bagus. Saya akan membaca Unggun Bersih dulu. Unggun Bersih akan bergema kembali dan menyala-nyala dalam dada," katanya yang pernah dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis kerana mendeklamasikan sajak tersebut yang dianggap "menghasut" beberapa hari sebelum perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai tahun lalu.
Terdahulu, seorang lagi selebriti, Man Kadir atau lebih dikenali dengan watak Pak Jabit dalam filem "Hantu Kak Limah Balik Rumah" turut memberikan semangat kepada anak muda untuk turut serta "Duduk Bantah".
Berceramah di Felda Keratong 4, Rompin, Pahang malam tadi, beliau berkata, Bersih 2.0 sudah berjaya membuktikan keberanian anak muda.
"Kita pergi, kita duduk dan bantah. Kali ini kita duduk sahaja. Dulu kita bergerak, kali ini kita tak bergerak.
"Kalau dulu anak muda Melayu duduk di kampung, anak muda Cina duduk di kampung baru, anak muda India duduk di estet, anak muda asli duduk tepi sungai, hari ini mereka sudah berganding bahu. Bersih 2.0 kita lihat anak muda Iban, Kadazan, India, Melayu, Cina semuanya melangkah berganding bahu bergerak bersama menuju Stadium Merdeka.
"Saya tengok menitis air mata. Saya dapat melihat anak muda Malaysia bangun bersama-sama," katanya dalam ceramah anjuran PAS kawasan Rompin itu.
Justeru katanya, semangat itu perlu diteruskan pada 28 April ini.
"Kita memerlukan anak muda yang berani untuk sama-sama turun ke Dataran Merdeka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan