Jumaat, 20 April 2012

Dataran Merdeka "Ditakluki"


Tidak ada apa yang baru tentang Dataran Merdeka, ia merupakan tempat di mana acara besar diadakan dan bendera gergasi jalur gemilang menjadi tumpuan utama para pelancong.  Di hadapan Dataran Merdeka bangunan warisan yang merakamkan sejarah negara ini dan keindahan struktur bangunan yang dibanggakan oleh rakyat Malaysia.  Dataran ini juga berada betul-betul di tengah kota dengan bangunan-bangunan pencakar langit seolah-olah membicara tentang kepesatan dan pembangunan Kuala Lumpur.  Yang baru dalam kebanggaan Dataran Merdeka ialah di satu sudut adanya beberapa khemah yang didirikan oleh anak-anak muda sejak 14 April hingga kini.


Saya berkesempatan untuk melawat anak-anak muda di sana tengahari tadi dan sempat berbual dengan mereka.  Semalam anak-anak muda ini diserang oleh sekumpulan gangster sehingga salah seorang dari mereka dimasukkan hospital kerana cedera.  Saya sempat bersembang dengan dua anak gadis yang menceritakan bagaimana khemah mereka dirobohkan sambil gangster-gangster ini menendang-nendang khemah sehingga tercedera salah seorang dari mereka di kepalanya.

Siapakah mereka anak-anak muda ini?  Mereka pada asalnya berhimpun pada 14 April untuk menuntut supaya PTPTN dihapuskan tetapi kemudian perhimpunan itu menjadi ala "occupy wall street" dan mereka telah membina khemah sejak malam 14 April lagi.  Beberapa khemah telah dirobohkan beberapa hari yang lalu tetapi kini bantuan dan simpati dalam berbagai bentuk kepada anak-anak muda ini datang mencurah-curah.  Tiba-tiba Dataran Merdeka menjadi perhatian bukan kerana biasanya tetapi kerana ia menjadi tempat anak-anak muda berkhemah sebagai satu cara untuk menekan kerajaan supaya isu PTPTN ini diselesaikan.  Ramai yang memberi pandangan tentang anak-anak muda yang berkhemah ini, tidak kurang yang memandang negatif seolah-olah anak-anak muda ini mahu bikin kacau dan menimbulkan huru-hara.

Isu ini timbul apabila PTPTN telah menjadi satu beban kepada pelajar-pelajar IPT sehinggakan dikatakan bebanan hutang adalah sebanyak 28 bilion.  Ia menimbulkan keresahan kerana 1.9 juta pelajar antara mereka telah disenarai hitamkan kerana tidak membayar balik hutang PTPTN yang mereka terima.  Di kalangan mereka ada yang disekat keluar negara oleh pihak imigresen kerana telah disenarai hitamkan.  Keresahan dan bebanan para pelajar yang menganggap PTPTN sebagai "along" telah mencemar nama baik PTPTN.  Jadi kewajaran mereka mendesak supaya isu PTPTN ini diselesaikan adalah satu keperluan dan bukan untuk kepentingan politik.  Apatah lagi PR telah memberi jaminan bahawa jika mereka memerintah, isu PTPTN akan diselesaikan melalui satu pendekatan dalam masa tiga tahun dan lebih penting ialah PR menjaminkan dasar pendidikan percuma dan berkualiti.

Saya sempat berbual dengan "penakluk dataran merdeka" bahawa kami dari PR mahu memberi jaminan bahawa isu PTPTN perlu kepada pendekatan penjadualan semula kepada agensi yang membiayai PTPTN dan lebih penting saya mengatakan kepada mereka secara jangka panjang PR menawarkan pendidikan percuma tanpa berkompromi dengan kualiti.  Cara melaksanakan pendidikan ini ialah dengan membawa konsep bahawa pendidikan tinggi adalah tanggungjawab utama kerajaan dari segi tanggungan walaupun pendidikan tinggi swasta boleh diteruskan.  Dengan cara ini bagi mereka yang mampu bolehlah memilih ke swasta dan bagi yang tidak mampu IPTA akan ditanggung oleh kerajaan sepenuhnya.  Ia lebih praktikal dari sudut peluang untuk semua.

Walaupun tindakan anak-anak muda ini ditanggap dengan pelbagai persepsi namun hak mereka untuk berkhemah dan berhimpun perlu dihormati dan tindakan ala mafia ke atas mereka yang berhimpun adalah sesuatu yang perlu dikecam oleh rakyat Malaysia.  Anda mungkin tidak bersetuju dengan mereka tetapi ini tidak boleh mewajarkan keganasan dan kecederaan hanya kerana kita tidak bersetuju dengan tindakan mereka.  Apa yang lebih menarik Dataran Merdeka akan menyambut tetamu dari seluruh pelusuk negara pada 28 April ini dalam satu program duduk-bantah supaya PRU akan datang ialah PRU yang adil dan telus.  Sekali lagi Dataran Merdeka akan menjadi tumpuan bukan kerana lanskapnya tetapi kerana ia menjadi tuan rumah kepada satu kebangkitan rakyat yang mahukan satu reformasi pilihanraya di negara ini.

*Dr.Mujahid Yusof Rawa (gambar kiri) adalah ahli parlimen Parit Buntar, merangkap Pengerusi Perpaduan Nasional PAS.

Tiada ulasan: