Ahad, 1 April 2012

Cadangan tambah dana PTPTN dibawa ke Kabinet

Post Pic

ANTARA POS.COM


KUALA LUMPUR : Cadangan penambahan dana bagi Perbadanan Tabung Pendidkan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM16.5 bilion untuk empat tahun (2012-2015) sudah dikemukakan kepada Kabinet.
Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khalid Nordin, sehingga ini, kerajaan sudah meluluskan sebanyak RM6 bilion untuk tempoh 2012 hingga 2013.

Beliau berkata, PTPTN telah membantu ramai pelajar untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan sehingga kini, seramai 1.9 juta orang peminjam telah menerima pembiayaan daripada PTPTN sebanyak RM43.6 bilion.

Menurutnya, kerajaan juga menyediakan subsidi untuk menjayakan pendemokrasian pendidikan di kalangan rakyat Malaysia dan tidak timbul isu kerajaan membebankan rakyat melalui bidang pendidikan tinggi.

"Pelajar di Institusi Pengajian Awam (IPTA) di negara ini tidak perlu membayar yuran pengajian secara penuh sebaliknya hanya membayar yuran yang sudah disubsidikan sahaja.

"Sebagai contoh, bagi pelajar program Perubatan, mereka hanya perlu membayar yuran pengajian RM9,000 sepanjang sepuluh semester pengajian walaupun kos sebenar pengajian adalah RM166,000," katanya.

"Lebih penting lagi, yuran pengajian yang telah disubsidikan itu juga tidak perlu dibayar dahulu oleh pelajar kerana PTPTN akan membayar bagi pihak mereka," katanya.

Jelas Khaled, pendidikan adalah satu pelaburan penting bagi setiap negara bagi menjamin masa depan dan kelangsungannya dan Malaysia perlu memastikan setiap rakyatnya yang layak, tidak tercicir untuk mendapat hak berpendidikan tinggi.

Katanya, akses kepada pengajian tinggi negara juga sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa melalui penambahan tempat yang disediakan IPT di Malaysia dan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi juga sentiasa terbuka kepada masyarakat.

Terdahulu, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mendakwa kerajaan melakukan penindasan kepada pelajar-pelajar melalui pembayaran balik PTPTN yang membebankan kerana mengenakan kadar faedah yang tinggi.

Mereka juga menetapkan 14 April ini untuk mengadakan perhimpunan bagi menuntut kerajaan memansuhkan pinjaman PTPTN di Dataran Merdeka.

Tiada ulasan: