Ahad, 29 April 2012

Bersih: Ambiga mahu siasatan bebas penuh

Wartawan Sinar Harian

Perhimpunan Bersih 3.0 yang dijamin akan diadakan dengan aman berakhir dengan ganas.
 
Perhimpunan Bersih 3.0 yang dijamin akan diadakan dengan aman berakhir dengan ganas.


SHAH ALAM - Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga mahu satu siasatan menyeluruh yang bebas diadakan bagi menyiasat perjalanan perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara semalam, yang berakhir dengan insiden ganas.

"Kami mahu satu siasatan penuh dan bebas (diadakan) berhubung insiden ini," kata beliau dipetik mesej laman mikro Twitter Bersih, hari ini.

"Kami fikir siasatan penuh seharusnya diadakan," kata beliau lagi.

Bersih 2.0 atau nama penuhnya Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil mengadakan sidang media petang ini berhubung perhimpunan Bersih 3.0, yang dicemari insiden ganas, dengan sejumlah orang termasuk anggota polis cedera dan lebih 500 orang ditahan.

Ambiga juga berkata, pihaknya mengutuk keganasan yang disaksikan semalam.

Katanya, "jika kami telah dibenar untuk menggunakan Dataran (Merdeka) dan pihak polis bekerjasama dengan kami, (protes) Duduk Bantah telah dapat diadakan aman," katanya lagi.

Malah kata Ambiga, "kami percaya ada ejen provokasi (di tempat kejadian)."

Sehubungan itu kata Ambiga, pihaknya juga mahu mereka yang mencetuskan masalah ketika perhimpunan semalam dikenal pasti.

Polis tidak membenarkan Bersih 3.0 diadakan di Dataran Merdeka. Malah, pemilik Dataran Merdeka, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga tidak membenarkan lokasi itu digunakan.

Semalam, Ambiga menyifatkan perhimpunan Bersih 3.0 berjaya walaupun ia berakhir dengan pertembungan antara ribuan penyokongnya dan pasukan polis.

"Hari ini ialah hari yang bersejarah buat kita semua. Walaupun kita tak sampai Dataran Merdeka, kita sudah berjaya hari ini.

"Desakan kita sudah didengari kerajaan dan seluruh dunia. Semua kaum datang untuk pilihan raya yang bersih dan adil. Kita berjuang bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi untuk anak-anak kita dan masa depan Malaysia," kata beliau.

Perhimpunan semalam walaupun tidak mendapat kebenaran untuk diadakan di Dataran Merdeka, ia diteruskan dan dicemari insiden merempuh sekatan didirikan oleh polis di lokasi bersejarah itu.

Dalam satu kenyataan semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, polis telah menjalankan tugas secara profesional dalam menangani perhimpunan yang bertukar menjadi luar kawalan.

Hishammuddin berkata, beliau berasa kagum dan bangga dengan polis yang tidak mudah melatah dengan provokasi yang dilakukan peserta perhimpunan itu.

"Saya sedih dengan apa yang berlaku hari ini (semalam), penganjur menjanjikan perhimpunan aman, sebaliknya bertukar menjadi tidak terkawal walaupun kerajaan sedaya upaya memberi kebenaran untuk rakyat berkumpul secara aman di tempat yang disyorkan.

"Mereka masih berdegil ingin mengadakan di Dataran Merdeka," katanya.

Tiada ulasan: