Isnin, 30 April 2012

Bersih 3.0: PAS kesal laporan Sinar Harian

Anis Nazri,
KUALA LUMPUR: PAS melahirkan kekesalan terhadap laporan yang disiarkan akhbar Sinar Harian berhubung perhimpunan Bersih 3.0 yang disifatkannya 'keterlaluan' dalam melaporkan berita sebenar.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) berkata pihaknya kesal apabila Sinar Harian hanya melaporkan bagaimana kereta polis diterbalikkan, tanpa melaporkan kereta polis tersebut telah melanggar orang awam yang berada di kaki lima Pusat Membeli-Belah Sogo, semalam..

"Kita kesal dengan laporan Sinar Harian kali ini.  Kita sebenarnya tiada masalah dengan Sinar, tapi buatlah laporan yang benar.  Mengapa hanya laporkan kereta polis diterbalikkan?  Kenapa tidak dilaporkan kereta itu turut melanggar orang awam?  Jangan sampai kita isytihar (boikot) seperti Utusan (Malaysia)," tegas beliau pada sidang media, di Jalan Raja Laut, hari ini.

Beliau juga kesal dengan laporan Sinar Harian yang mengatakan Unit Amal PAS merempuh pihak polis di KLCC, semalam.

Katanya, pihaknya percaya Unit Amal tidak akan melakukan perkara sedemikian kerana Unit Amal telah dilatih untuk menjaga keselamatan orang awam tidak kira dalam situasi apa sekalipun.

"Kamu tidak tahu bagaimana kami melatih Unit Amal ini.  Unit Amal kami dilatih untuk menjaga keselamatan, dan menghalang orang awam dari melakukan sebarang provokasi.  Mereka dilatih bagaimana untuk mengawal keadaan.  Bagaimana boleh kamu katakan ia dilakukan Unit Amal PAS," kata beliau dalam nada kesal.

Wartawan Sinar Harian yang turut berada pada sidang media itu, pada mulanya cuba mempertahankan laporan tersebut dengan mengatakan rakan wartawannya yang berada di lokasi tersebut mempunyai gambar dan melihat sendiri rempuhan tersebut.

Bagaimanapun, setelah bersoal-jawab seketika, wartawan tersebut menyatakan pihaknya bersetuju untuk mendapatkan pengesahan daripada rakannya berhubung laporan tersebut, selain berpendapat ia (rempuhan) bukan berlaku di KLCC.

"Lihat...ia melaporkan kejadian itu di KLCC, dan anda katakan ia bukan di KLCC.  Bagaimana laporan ini ditulis?  Saya benar-benar kesal dengan Sinar Harian kali ini.  Kalau Utusan Malaysia yang buat begini, atau akhbar Umno, saya tidak marah sangat kerana itu memang kerja mereka.  Kalau bukan putar-belit, itu bukan Utusan.  Ini...Sinar Harian yang selama ini kita tiada masalah," tegas beliau.

Beliau berkata, tugas wartawan umpama perawi hadis yang perlu bertanggungjawab di atas apa yang ditulisnya dan akan diperhitungkan di akhirat kelak.

Dalam pada itu, Penolong Setiausaha PAS Pusat, Dr. Syed Azman Syed Nawawi, berkata sekiranya Sinar Harian tidak membetulkan laporannya, PAS tidak teragak-agak untuk mengambil langkah memboikot akhbar itu di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: