Hanya tinggal dua hari saja lagi menuju 28 April, Dataran Merdeka dan sekitarnya, di tengah jantung Ibu Kota akan bermandi cahaya kuning, dengan kedatangan ratusan ribu rakyat prihatin untuk menuju ‘Lebuh Raya Demokrasi’ melalui Himpunan Bersih 3.0.
Kita masih ingat, dengan puisi Unggun Bersih Sasterawan Negara A. Said dan puluhan ribu orang yang berhimpun pada 9 Julai tahun lalu, tembok tebal rasa takut rakyat sudah diruntuhkan. Rasa takut sudah mengakhiri zamannya dan digantikan dengan keberanian.
Rakyat sudah bertekad maju ke depan bersama Bersih 3.0 untuk ke Lebuh Laya demokrasi. Seperti kata penyair Usman Awang, “Di depam duri di belakang api, kita tidak boleh undur lagi.”
Perjuangan ini tidak dihampari dengan permaidani merah, taburan bunga, puji-pujian, tetapi perjuangan ini mengharungi gelombang yang deras – air pancutan, semburan gas pemedih mata, pertarungan sengit dan tangkapan-tangkapan. Ini adalah harga yang telah dibayar oleh rakyat prihatin untuk mendapatkan sebuah demokrasi selepas 54 tahun merdeka.
Malah di sepanjang sejarah di pelbagai belahan dunia, perjuangan seperti ini terpaksa dibayar dengan harga yang jauh lebih mahal.
Pada 28 April ini - seluruh negara dan dunia – menyaksikan alunan ombak kuning di mana-mana, jeritan perjuangan menuntut sebuah pilihan raya yang bersih dan demokratik, disertai oleh pelbagai lapisan rakyat, pelbagai bangsa dan agama serta pelbagai generasi.
Dataran Merdeka yang bersejarah itu, bukan sekadar namanya bahkan riwayatnya, akan menjadi menjadi tempat kepada ibu segala himpunan. Jam besar yang yang berdenting setiap waktu, rumput rampainya, bunga-bunganya dan segalanya akan menjadi gelombang rakyat ini. Kalau ia boleh berkata-kata, tentu ia akan tersenyum ria bahawa ‘putera puterinya sedang bangkit dari tidurnya’. Para pelancong, jika ada di situ pada hari itu, mungkin tertegun menyaksikan semuanya ini.
Sabtu, 28 April ini, cuaca mungkin cerah, mungkin mendung, mungkin hujan, mungkin juga angin bertiup kencang, namun semuanya itu memperkukuh keazaman rakyat prihatin ini. Mengandungi rahmat yang tersembunyi, justru Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang sentiasa mengasihi dan berlaku adil kepada hamba-Nya.
Kini orang ramai mulai tiba di Kuala Lumpur dengan pelbagai cara, semuanya dengan belanja sendiri. Mereka membawa keazaman dan harapan bahawa Himpunan Bersih 3.0 ini akan menelurkan hasil supaya senarai pengundi dibersihkan dan seterusnya pilihan raya yang benar-benar demokratik.
Ini sebuah tuntutan yang sangat munasabah kerana masakah negara sudah merdeka lebih setengah abad lalu tetapi pilihan raya masih sedemikian rupa. Apa eertinya kemerdekaan jika keadaan seperti ini berlaku.
Hampir setiap tahun, sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan diadakan di Dataran Merdeka yang bersejarah ini. Tentu sekali kerana ia adalah simbol kemerdekaan dan kebebasan dari penjajah. Oleh itu, tidak munasabah jika rakyat yang mahukan pilihan raya bersih mengadapi pelbagai halangan untuk menggunakannya.
Himpunan yang dikatakan ‘Ibu Segala Himpunan’ ini memang sangat wajar diadakan di Dataran Merdeka, justru menepati namanya. Kalau tidak boleh maka namakan saja ‘Dataran Penjajah’ seperti kata A. Samad Said.
Mereka yang berhimpun adalah rakyat Malaysia yang cinta damai, sangat mengasihi tanah airnya, akan sama-sama mempertahankan negara ini dari sebarang ancaman luar. Oleh itu terimalah kehadiran mereka di Dataran Merdeka itu dengan penuh pengertian kerana mereka adalah pendukung setia negara.
Boleh jadi di kalangan generasi lama yang turut berhimpun pada 28 April ini adalah mereka yang ikut sama dalam kemeriahan menyambut kemerdekaan tanah air 31 Ogos 1957 dulu. Dan mungkin juga ramai di kalangan generasi baru yang menyertai Himpunan 3.0 kali ini adalah anak cucu generasi lama yang sama-sama memperjuangkan kemerdekaan tanah air dulu.
Kini generasi baru itu mahu melihat dan menikmati hasil perjuangan orang tua mereka yang berjuang mendapatkan kemerdekaan dan kebebasan dengan keringat dan air mata.
Kita sedar perjalanan ke destinasi demokrasi masih jauh dan sukar, namun rakyat telah memulakan langkah melalui Lebuh Raya Demokrasi Bersih 3.0 ini dan semoga dengan izin Allah ia akan sampai juga kedestinasinya.
Puluhan, malah ratusan NGO sudah menyatakan sokongan terhadap Himpunan Bersih 3.0 ini.
Bermakna Himpunan tersebut didukung oleh rakyat pelbagai golongan, merentasi bangsa dan agama.
Mereka, bukan saja golongan petani, aktivis alam sekitar, pelajar, golongan profesional bahkan golongan budayawan, seniman dan sebagainya akan menyertai Himpunan ini.
Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang sedang menyaksikan gelombang ini.
Rakyat prihatin bersyukur kepada-Mu kerana memberikan kekuatan dan ketabahan terhadap perjuangan ini. Mereka berdoa supaya mereka yang masih ‘tidur lena’ akan bangkit sama menyertai gelombang ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan