Sabtu, 28 April 2012

Bedilan gas pemedih: Kejadian 709 berulang



Pengalaman pedih 709 berulang apabila FRU membedil gas pemedih mata terhadap kira-kira 10 ribu orang yang berkumpul di persimpangan jalan berdekatan Dataran Merdeka.  Peserta perhimpunan BERSIH 3.0 yang antaranya orang tua dan budak berlari lintang pukang untuk menyelamatkan diri daripada asap gas pemedih mata.

Sungguhpun diadakan sekatan jalan raya, dan Dataran Merdeka ditutup dengan kawat besi, namun ia gagal menghalang kebanjiran manusia dari rata-rata ke lokasi perhimpunan.  Mereka duduk sambil melaungkan slogan, kadang-kala bangun dan menyanyikan lagu Negaraku, dari kira-kira jam 9 pagi hingga tengah hari.

Beberapa orang pemimpin, termasuk ahli jawatankuasa pemandu BERSIH Wong Chin Huat, Naib Presiden PAS Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Naib Presiden PKR Tian Chua, dan pemimpin mahasiswa menyampaikan ucapan mereka.

Malah dalam ucapan Wong Chin Huat, yang memegang perlembagaan persekutuan dalam tangannya, berkata selagi hati dan jiwa rakyat adalah bebas dan merdeka, maka tempat yang berkumpul itu dinamakan "Dataran Merdeka".

Segala-galanya berjalan dengan lancar, dan hampir menutup tirai pada jam 3 petang.  Namun, dengan pembedilan gas pemedih mata pada jam 3 petang, perhimpunan Duduk Bantah berakhir sebagaimana yang berlaku pada 9 Julai 2011.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim tiba untuk berucap di persimpangan yang berhampiran dengan Dataran Merdeka pada kira-kira jam 3 petang.  Beliau memberi ucapan ringkasnya dengan pembesar suara yang tidak begitu baik fungsinya.  Peserta menjerit agar kawat besi dibuka.

Anwar pada mulanya menunjukkan isyarat "tidak".  Namun beberapa orang peserta di situ kelihatan telah berjaya melonggarkan kawat berduri dan berpusu-pusu mahu menembusi halangan tersebut.  Dalam keadaan yang sesak, gas pemedih mata telah dilepaskan.  Dan meriam air juga ditembak ke atas peserta perhimpunan.

Ramai yang berlari lintang pukang setelah gas pemedih mata dilepaskan. Malah gas pemedih mata dilepaskan bertalu-talu sehingga peserta perlu melarikan diri ke lorong-lorong kecil.  Terdapat juga kanak-kanak yang ketangisan, di samping orang tua yang sesak nafasnya.  Malah wartawan berjumpa seorang unit amal sedang diselamatkan seorang peserta di atas kereta kerana kesesakan nafas.

Tangkapan dan kekerasan yang digunakan

Meskipun Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein mengakui bahawa kerajaan mungkin "bertindak terlampau" (over react) ketika mengendalikan perhimpunan BERSIH 2,0 pada 9 Julai lalu, namun cara polis menangani BERSIH 3.0 nampaknya tidak banyak berbeza dengan dahulu.  Tangkapan terus berlaku, malah mereka yang ditangkap mengadu dirinya dikasari oleh polis.  Pada masa yang sama, wartawan dan jurugambar juga dilarang mengambil gambar aksi-aksi polis ketika menangkap peserta perhimpunan BERSIH 3.0.

Beberapa orang pengsan kerana terhidu terlalu banyak gas pemedih mata, dan dihantar ke hospital.  Malah tindakan polis dan FRU telah mencungkil kemarahan rakyat, sehingga sebuah kereta polis diterbalikkan.  Ketegangan antara polis dengan peserta perhimpunan tidak kurang ketaranya berbanding 709. 

Tiada ulasan: