Jumaat, 27 April 2012

Amaran Polis KL, Bersih 3.0 ‘haram’ di Dataran

AHMAD ISMADI ISMAIL

bersih 3.0
 
 
Kawalan keselamatan dipertingkatkan oleh Anggota Polis dalam menghadapi kemungkinan Perhimpunan Haram Bersih 3.0 pada esok hari, di Dataran Merdeka di sini, hari ini.
 
KUALA LUMPUR - Polis mendapat perintah Mahkamah Majistret Kuala Lumpur melarang penganjur dan orang awam berkumpul atau mengadakan aktiviti di Dataran Merdeka mulai esok sehingga 1 Mei.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, kawasan ‘larangan’ yang dimaksudkan itu adalah Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Raja dan Jalan Kelab kecuali kawasan yang diduduki oleh Kelab Diraja Selangor, ia bermula pada jam 12 tengah malam tadi.

"Penama yang dinamakan dalam perintah itu, penganjur dan orang awam adalah dilarang hadir, berada atau mengambil bahagian dalam perhimpunan di kawasan tersebut mulai hari yang ditetapkan,” katanya.

Mohamad berkata, polis mengambil kira isu keselamatan dan kententeraman awam di pusat bandar, khususnya di Dataran Merdeka.

Menurutnya, jika pihak berkenaan masih berdegil dan tidak mengikut perintah, ia merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara enam bulan dan denda RM 2,000 atau kedua-duanya.

“Jika pihak berkenaan didapati mengadakan perhimpunan di tempat lain seperti KLCC yang tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkenaan, ia merupakan satu kesalahan mengikut undang-undang yang termaktub. Berkumpul di sesuatu lokasi untuk tujuan perarakan adalah salah mengikut Akta Perhimpunan Aman,” katanya.

Beliau berkata, polis mempunyai pasukan yang memadai untuk memantau perhimpunan Bersih 3.0.

“Pasukan trafik mengawal lalu lintas akan membuat lencongan jalan atau jalan itu ditutup jika perlu mengikut keadaan. Kami juga mempunyai anggota yang mencukupi bersedia untuk menangani apa yang berlaku,” katanya.

Tiada ulasan: