Lim Hong Siang |
Mungkin ramai yang akan terperanjat seandainya tarikh 28 April 2012
menyaksikan kebangkitan kaum suri rumah tangga untuk menyertai
perhimpunan BERSIH 3.0 dan Himpunan Hijau 3.0. Apa yang pasti, BERSIH
2.0 memberi impak yang mendalam buat kaum ibu yang secara tradisionalnya
bersikap dingin terhadap politik. Apa yang berlaku sebelum, semasa dan
selepas 9 Julai 2011, telah menyentuh hati ramai suri rumah tangga,
khususnya mereka yang terdedah kepada maklumat dari internet.
Kaum
suri rumah tangga mulai tampil ke depan sejak Rang Undang-Undang
Perhimpunan Aman dibentangkan pada tahun lalu. Perhimpunan
kecil-kecilan diadakan di merata-rata sebagai protes terhadap
undang-undang yang cuba mematikan budaya protes jalanan ini. Sungguhpun
tidak menarik tumpuan ramai ketika itu, namun ia cukup bermakna buat
ramai suri rumah tangga, yang memberanikan diri untuk mengorak selangkah
ke depan.
Perkembangan selanjutnya terus memaut hati kaum ibu.
Perhimpunan mahasiswa UPSI pada awal pagi 1 Januari 2012 meraih simpati
mereka, sehingga kaum ibu terpanggil untuk memberikan sejambak bunga
kepada Safwan Anang, yang tercedera dalam pertembungan fizikal antara
siswa dengan polis.【Mengapa saya terfikir untuk beri bunga kepada Safwan?】
Hati
ibu mudah terkesan dengan ketidakadilan yang berlaku. Pada 22 Februari
2012, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 ke
atas OKT yang terlibat dalam perhimpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos
2009. Sekumpulan ibu telah melancarkan kutipan derma kilat untuk
membantu mereka menjelaskan denda tersebut - menyampaikan mesej bahawa
"Mereka tidak keseorangan dalam perjuangan!" 【Kutipan derma kilat untuk sampaikan mesej: Mereka tidak keseorangan!】
Isu-isu
sedemikian terus melonggok, termasuk kempen mempertahankan tanah
warisan Jalan Sultan, bantahan terhadap kilang pemprosesan nadir bumi
Lynas, malah isu PTPTN yang dibangkitkan mahasiswa baru-baru ini.
Layanan ke atas siswa yang berkhemah di Dataran Merdeka, sama ada
sekumpulan pembuli yang berperangai bagai samseng, mahupun tindakan
keras dari pihak penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, telah
mencetuskan kemarahan ibu-ibu.
Mamas@BERSIH 3.0
Pada 11 April, sekumpulan ibu telah melancarkan satu deklarasi, "Pilihan raya yang bersih demi masa depan anak-anak",
menyeru agar semua ibu tampil menyatakan sokongan terhadap perhimpunan
BERSIH 3.0. Langkah ini amat berani, tatkala banyak pertubuhan Cina
masih meragu-ragu untuk menyatakan pendirian secara terbuka. Malah,
sebagaimana yang dicatatkan dalam pengalaman yang dikongsikan di laman
sosial, tidak kurang juga yang mengakui bahawa perselisihan faham antara
suami isteri berlaku kerana berbeza pandangan dalam isu BERSIH 3.0.
Terdapat
beberapa artikel yang amat terharu buat orang ramai tersebar di laman
sosial, catatan ibu-ibu menjelang perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April.
Antaranya, seorang ibu bernama Jessy Tee, mengisahkan perubahan yang
berlaku dalam dirinya, sepanjang beberapa bulan ini sejak 9 Julai 2011.
Catatan Jessy Tee
Jessy
Tee seorang ibu yang mempunyai dua orang anak, masing-masing berumur 4
tahun dan 10 bulan. Beliau mengakui bahawa dirinya seorang yang
bersikap acuh tak acuh terhadap politik sebelum ini. "Pernah saya
berfikir, saya hanya perlu kahwin, mengandung, melahirkan anak, kemudian
duduk di rumah dengan selesa menggoyang kaki saya. Apapun berlaku,
malah langit ranap ke tanah sekalipun, tiada kena-mengena dengan saya."
Apa
yang bermain dalam otaknya adalah, berehat selepas bersalin, kemudian
teruskan kerja dan mencari rezeki. "Apa yang sibuk-sibuk ni?" menjadi
ayat yang paling kerap terlintas dalam otaknya, ketika melihat mereka
yang berhempas-pulas untuk gerakan sosial.
Namun demikian, dua minggu sebelum 9 Julai 2011, laman sosial Facebook
Jessy Tee dilanda gelombang kuning. Kebetulan Jessy Tee yang baru
bersalin amat bosan berada di rumah, maka beliau membuka dan membaca
catatan yang ditulis dan disebarkan dalam ruang internet. Ramai yang
mengutus pesanan kepada ibu bapa, anak-anak - sama ada dalam nada yang
sayu, mahupun ghairah.
Kesemua ini membuatkan Jessy Tee terharu,
malah segan dengan sikap dirinya. "Saya memarahi diri saya, kemudian
mengalirkan titisan air mata. Rupa-rupanya, benar saya tidak berguna."
Secara
terus-terang Jessy Tee menulis, "Saya membiarkan 'pahlawan-pahlawan'
yang berani ini mengambil risiko untuk memperjuangkan hak asasi saya,
tapi saya pula menikmati hasil perjuangan saya dengan hanya bersarang di
sofa dalam rumah saya. Saya berasa amat malu, tetapi saya gagal
melakukan apa-apa. Betapa saya mengharapkan diri saya bukan ibu yang
baru bersalin. Betapa saya mengharapkan agar boleh menjadi sebahagian
daripada mereka."
Kemudian
Jessy Tee mula mencari maklumat mengenai BERSIH di internet. Dan
beliau mendapati laman sosial ibu yang lain telah mula membincangkan
BERSIH. Dirinya begitu ketinggalan zaman. Jessy Tee mula
bermuhasabah. Padahal dirinya bukan "tak nampak" sebelum ini, tetapi
"buat tak nampak" apabila terdedah kepada berita-berita politik. Dan
pengakuan ini membuatkan dirinya begitu segan dan bersalah dengan sikap
sedemikian.
Pada 9 Julai 2011, Jessy Tee gagal menahan sebak
ketika melihat gambar-gambar perhimpunan BERSIH 2.0. Namun demikian,
menangis bakal mengganggu penghasilan susu ibu ini. Jessy Tee akhirnya
dikesahkan doktor bahawa dirinya senang berdepan dengan risiko susu
tersumbat dalam payudara. Apa yang malang, Jessy Tee mengalami
keradangan buah dada sehingga memerlukan pembedahan.
Berikan yang terbaik untuk anak
Pengalaman
ini cukup memedihkan. Ketika berbaring di katil untuk pembedahan,
Jessy Tee mula menangis. Jessy menarik tangan doktor, merayu agar
jangan membuat pembedahan tersebut, kerana beliau mahu memberi makanan
yang terbaik untuk anaknya - susu ibu. Doktor itu kelihatan merah
matanya, dan membenarkan agar Jessy mengubati keradangan buah dadanya.
Akhirnya, Jessy berjaya menyembuhkan sakitnya dengan gabungan ubat
tradisional dan ubat barat.
Apa yang ingin Jessy tekankan adalah,
"Berikan yang terbaik untuk anak". Pengalaman itu membuatkan Jessy
merenung, "Saya memberikan makanan yang terbaik untuk anak saya. Tetapi
seandainya dia tidak hidup dalam suasana politik yang demokrasi,
bersama perasuah-perasuah, maka apa yang tinggal dalam dunia pada masa
depan adalah kerajaan yang korup, tidak cekap dan menindas rakyat
jelata."
Maka
Jessy berfikir, selain susu ibu, makanan yang paling sempurna untuk
anaknya, apa lagi yang boleh diperjuangkan dirinya, untuk anaknya?
Beliau membaca berita dari internet, yang tidak disiarkan dalam alam
realiti. Setiap kali membaca beliau berasa rimas untuk masa depan
anaknya.
Jessy mula menulis di laman sosial sendiri, menyeru agar
lebih ramai orang sedar dan bertindak untuk melakukan sesuatu.
Baru-baru ini, ketika melihat kumpulan siswa yang berkhemah di Dataran
Merdeka, beliau terpanggil untuk melakukan sesuatu, menderma kepada
siswa-siswa ini. Akhirnya Jessy mendapatkan bantuan seorang kawan untuk
membeli penjana kuasa kepada siswa yang berani ini, dengan harapan
mereka mampu bertahan sehingga 28 April.
Apabila dikhabarkan
bahawa siswa yang berkhemah di Dataran Merdeka dikasari pembuli, Jessy
menyifatkan hatinya bagai dihiris pisau. "Jika saya ibu bapa mereka,
semestinya saya menangis tidak terkawal. Melihat dua orang anak saya,
saya membayangkan merekalah yang ditendang, mata air saya mengalir bagai
air terjun."
428: Turun atau tidak?
Akhirnya,
Jessy Tee berdepan dengan dilema - sama ada untuk turun atau tidak pada
28 April? Ini kerana Jessy perlu mengepam susunya, atau berdepan
dengan risiko untuk mengalami keradangan payudara semula - yang bakal
mengakibatkan dirinya tidak mampu untuk menyusu anaknya lagi.
Jessy
Tee semakin gelisah, dan rasa bersalah kerana menganggap dirinya gagal
melakukan apa-apa. Akhirnya Jessy dipujuk oleh seorang kawan, agar
berhenti menangis, menyerahkan masa depan anaknya kepada mereka yang
boleh turun ke Dataran Merdeka kali ini. Jessy menangis lagi. Namun
dirinya sedar, bahawa beliau boleh melakukan sesuatu meskipun tidak
turun ke jalan raya kali ini.
Menurut Jessy, ramai yang mengutus
surat kepadanya melalui internet, bahawa mereka mengambil keputusan
untuk turun ke jalan raya selepas membaca apa yang dikongsikannya di
laman sosial. Jessy tetap menyeru agar orang ramai turun ke Dataran
Merdeka pada 28 April di penghujung artikelnya, dan menambah, "Jikapun
gagal turun ke jalan raya, buatlah sesuatu, ya?"
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan