Sabtu, 3 Julai 2010

Pilih kontraktor berkualiti - PM


NAJIB Tun Razak menerima cenderamata daripada Mokhtar Samad pada majlis makan malam dan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PKMM di Hotel Legend, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan selepas ini hanya memilih kontraktor-kontraktor Melayu bereputasi tinggi melaksanakan projek-projek yang dirancang bagi mengelakkannya daripada tertangguh.

Perdana Menteri berkata, kontraktor bereputasi tinggi bermaksud mereka yang mampu menyiapkan kerja tepat pada masanya atau lebih awal daripada dijadualkan.

Misalnya, jelas beliau, apabila ditetapkan kerja siap dalam tempoh satu setengah tahun, namun syarikat yang bereputasi tinggi mampu menyiapkannya tiga bulan lebih awal tanpa menjejaskan kualiti binaan.

"Syarikat seperti ini yang kita mahukan. Kita tidak akan memilih syarikat yang sengaja menangguhkan projek atau melambatkan proses menyiapkan projek sehingga melangkaui jadual asal," katanya.

Beliau berucap pada majlis makan malam dan perasmian mesyuarat agung tahunan kali ke 31 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor; Presiden PKMM, Datuk Mokhtar Samad dan Timbalan Presiden PKMM, Datuk Mohamed Fadzill Hassan.

Najib berkata, semua pihak harus menerima hakikat dalam era industri pembinaan pada masa kini, reputasi sesuatu yang amat penting kerana melaluinya sahaja sesebuah syarikat kontraktor boleh dinilai.

"Sebagai contoh ada dua syarikat yang masuk tender. Apabila kerajaan membuat penilaian dan pemilihan, sudah tentu syarikat yang mempunyai reputasi yang baik terpilih.

"Biarpun syarikat yang bereputasi ini meletakkan harga agak tinggi sedikit daripada syarikat satu lagi, kita tetap memilih syarikat ini kerana percaya mereka mampu melakukan kerja lebih efisien," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu pihak PKMM memberi cadangan kepada pihak kerajaan untuk membuat perubahan kepada struktur yang membabitkan jumlah kontraktor secara keseluruhan.

"Saya mengambil contoh bagaimana kerajaan mengambil keputusan menggabungkan bank-bank yang pada masa itu jumlahnya agak banyak.

"Akhirnya beberapa bank utama sahaja beroperasi dan hasilnya ia memberi kesan positif kepada ekonomi negara walaupun berlaku krisis ekonomi," katanya.

Najib berkata, begitu juga dengan kontraktor iaitu pihak PKMM perlu membuat satu cadangan untuk melakukan perubahan memandangkan jumlah kontraktor terlalu banyak.

"Saya tidak mahu memberi sebarang saranan kerana saya kira PKMM lebih tahu mengenai keperluan ahli-ahlinya," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kejayaan beberapa kontraktor Melayu pada masa ini adalah hasil corak pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO.

Tiada ulasan: