Selasa, 20 Julai 2010

Perpindahan pelajar IKYS ke Inpens tak jejaskan yuran, biasiswa


dn_05.1 Jamilah Kamarudin

PETALING JAYA: Perpindahan pelajar Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) Sabak Bernam ke Kolej Antarabangsa Inpens (Inpens) Kuala Selangor tidak akan menjejaskan yuran dan biasiswa pelajar terbabit.

Malah pelajar IKYS akan mendapat beberapa manfaat tambahan termasuk berpeluang cerah melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah dan Diploma di Kolej Inpens, kata Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki.

Ilham berkata, keputusan perpindahan itu dibuat kerajaan negeri dan pihaknya selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk pertindihan fungsi dua agensi kerajaan yang sama.

"Kami ingin menegaskan bahawa perpindahan ini tidak akan menganiayai mana-mana pelajar kerana tidak akan ada sebarang perubahan dari segi kursus atau program, tenaga pengajar, pengiktirafan pensijilan, dan mutu pengajaran kecuali perubahan tempat sahaja.

"Dengan perpindahan ini juga tidak akan menjejaskan terma dan syarat yang telah ditawarkan dan mereka juga tidak akan dikenakan sebarang kos tambahan.

"Maka pelajar IKYS akan meneruskan pelajaran mereka seperti biasa di Kolej Inpens bermula pada Ogos ini," katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today.

Beliau juga berkata penyerapan pelajar IKYS ke Kolej Inpens juga disebabkan terdapatnya faktor pertindihan silibus yang sama antara dua agensi kerajaan terbabit.

"Tujuan penyerapan program kemahiran Pendawaian (PW2 dan PW4) serta Kursus Penghawa Dingin Tahap 1 dan Tahap 2 adalah bagi menamatkan pertindihan program atau kursus kemahiran yang dijalankan oleh Yayasan Selangor dan Kolej Inpens di mana kedua-duanya adalah agensi dibawah kerajaan negeri Selangor.

"Jika membabitkan kos dan aktiviti yang sama, adalah lebih baik jika pelajar IKYS dipindahkan ke Kolej Inpens. Pembaziran sumber juga dapat dielakkan.

"Kolej Inpens yang bertapak kukuh sejak 10 tahun lalu juga mempunyai infrastruktur yang lebih kondusif dan mempunyai kemudahan yang lebih lengkap, disamping lokasinya yang terletak di tengah bandar Kuala Selangor mampu memberi keselesaan kepada pelajar.

"Malah pelajar yang berjaya dan lulus pada tahap PW4 boleh meneruskan ke pengajian yang lebih tinggi di Inpens," katanya.

Sementara itu, Ilham menyatakan kekesalannya mengenai isu ini yang dipolitikkan beberapa pihak tertentu.

"Perkara ini sebenarnya telah dirancang pada tahun 2007, tetapi baru diputuskan Lembaga Pengarah pada April lalu serta mendapat persetujuan Menteri Besar pada Jun lepas," katanya.

Beliau juga menafikan dakwaan kononnya Kolej Inpens hanya mengendalikan kursus profesional dan tiada kursus kemahiran serta vokasional.

"Kursus profesional yang pernah di kendalikan oleh Kolej Inpens telah diserahkan sepenuhnya kepada Universiti Industri Selangor (UNISEL) pada April 2007 dan semenjak itu Kolej Inpens hanya mengedalikan kursus vokasional dan kemahiran.

"Penggabungan seumpama ini pernah dilakukan antara Kolej Inpens dan UNISEL di bawah Perbadanan Menteri Besar (MBI) sebelum 2008 lagi.

Ilham berkata melalui penyerapan ini juga, Yayasan Selangor kini mampu memberi fokus kepada objektif asalnya yang menyediakan peluang pendidikan melalui pemberian biasiswa.

"Yayasan Selangor berperanan khusus untuk tujuan pembinaan modal insan melalui pendidikan di peringkat rendah dan menengah dengan menyediakan dana untuk membiayai pelajar sehingga ke peringkat Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

"Dengan langkah ini juga, kami dapat memfokuskan pengurusan aset untuk tujuan biasiswa," katanya.

Mengenai masa depan kompleks IKYS, Ilham berkata ia tidak akan ditutup tetapi akan dimanfaatkan sebagai pusat motivasi pembinaan modal insan yang lain untuk rakyat.

"Sekali lagi kami kesal, lebih-lebih lagi pihak yang sudah mengetahui hal ini, sengaja mengambil kesempatan membuat tuduhan liar, dan mungkin sengaja mencari publisiti murahan untuk kepentingan yang sempit dan berniat jahat," katanya.

Tiada ulasan: