Isnin, 19 Julai 2010

Muhyiddin: Guru berasal dari Sabah, Sarawak akan ditempatkan di negeri sendiri

BERNAMA

KOTA KINABALU – Kementerian Pelajaran sedang mengusahakan supaya guru atau bakal guru yang berasal dari Sabah dan Sarawak ditempatkan di negeri asal masing-masing, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata proses itu sudahpun dimulakan berdasarkan permintaan dari kedua-dua negeri itu sendiri, namun proses tersebut akan memakan masa dan dijalankan secara berperingkat.

“Sebagaimana disuarakan Sabah dan Sarawak, mereka (kerajaan negeri) minta guru (dari negeri tersebut) dihantar balik supaya budak lebih faham.

“Tapi ini akan mengambil masa, kerana kita tidak boleh terus tukar guru dari Semenanjung balik ke Semenanjung, dan hantar (kembali) guru Sabah (dan Sarawak), kadang-kadang bilangan (guru) pun tak mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Sepanggar, disini.

Beliau memberi contoh senario sekiranya Sabah memerlukan 500 guru namun hanya ada 200 guru berasal dari negeri itu, maka tidak sesuai untuk menunggu sehingga ada guru berasal dari Sabah untuk mengisi kekosongan itu yang akan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran.

Ketika diminta mengulas isu projek makmal komputer di sekolah di Sabah yang majoritinya belum dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Muhyiddin berkata kementerian mengambil berat perkara tersebut dan tindakan akan diambil untuk menanganinya secepat mungkin.

Exco pelajaran negeri Datuk Masidi Manjun baru-baru ini berkata Sabah telah memohon 300 makmal komputer, yang mana 250 buah telah diluluskan untuk dibina di sekolah-sekolah di seluruh negeri. Namun hanya tiga dari jumlah tersebut yang telah disiapkan setakat ini disebabkan kelewatan kontraktor.

Tiada ulasan: