Ahad, 11 Julai 2010

Melaka negeri kelima benarkan ESQ

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Kerajaan Melaka turut memutuskan untuk membenarkan ESQ Leadership Centre mengadakan kursus motivasi di negeri itu kerana konsep dibawa syarikat berkenaan tidak bercanggah dengan syarak dan akidah Islam.

Keputusan ini menjadikan Melaka negeri kelima yang membenarkan ajaran berkenaan.

Sebelum ini Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Pahang telah memberi kebenaran kepada negeri itu.

Mengesahkan perkara itu, Pengurus Besar ESQ cawangan Malaysia, Marhaini Yusoff berkata, walaupun pihaknya belum mendapat surat rasmi daripada Pejabat Mufti Melaka tetapi ia diluluskan dalam satu mesyuarat kelmarin.

Marhaini berkata, Melaka bersetuju kursus ini dijalankan mulai minggu ini.

Dengan keputusan Mufti Wilayah Persekutuan, kata beliau, pihaknya akan memindahkan program mereka ke negeri lain.

Pusat itu dijadual mengadakan lima hingga enam sesi latihan dalaman setiap bulan dan telah merancang untuk menganjurkan empat sesi umum sepanjang enam bulan akan datang di Wilayah Persekutuan.

“Jadi kami sedang mengambil usaha untuk memindahkan program ke negeri-negeri lain,” kata beliau sambil mengakui memang bisnes mereka terjejas akibat keputusan Majlis Agama Wilayah Persekutuan.

Pada perkembangan sama, beliau memberitahu sehingga kini, pihaknya masih belum dipanggil memberikan sebarang penjelasan berhubung pengharaman ESQ di Wilayah Persekutuan.

“Kita juga sedang menanti keputusan Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan mengenai ESQ secara rasmi.

“Kami di ESQ berharap agar keputusan rasmi mengenainya segera dikeluarkan kerana diperingkat Majlis Fatwa Kebangsaan, telah melakukan beberapa kali perbincangan,” katanya.

ESQ menjadi kontroversi selepas fatwa Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, yang diwartakan di bawah Seksyen 34(1), Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 itu menyebut sekurang-kurangnya 10 ciri dalam ajaran, pegangan dan fahaman dibawa oleh syarikat tersebut boleh merosakkan akidah dan syariah Islam.

Fatwa tersebut telah disiarkan dalam laman web Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan selain menjadi bahan perbincangan panas dalam jaringan interaksi sosial di Internet sejak bulan lalu.

Dalam pada itu, Sinar Harian memetik mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahib mengesahkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan ESQ tidak bertentangan dengan akidah dan fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah.

Katanya, Kerajaan Negeri Selangor akan menunggu keputusan rasmi daripada Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum mengambil tindakan seterusnya.

“Selangor tidak akan mengambil sebarang tindakan melulu berhubung isu ini, kita tunggu dan lihat dulu bagaimana.

“Ini merupakan isu Nasional, jadi keputusan Majlis Fatwa adalah penting sebelum kerajaan negeri memutuskannya,” katanya.

Tiada ulasan: