Khamis, 8 Julai 2010

Kesihatan MP Sibuti bertambah baik

BERNAMA



Kesihatan ahli parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, yang dibawa ke hospital selepas mengadu kurang sihat semalam, kini semakin baik.

Ti
mbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Ahmad hanya memerlukan rehat selama beberapa hari bagi mengawal tekanan darahnya.

"Saya telah melawatnya jam 10 pagi tadi dan keadaan beliau kini bertambah sihat...tiada apa yang perlu dibimbangkan.

"Bagaimanapun, beliau akan terus ditahan kerana paras hemoglobin dalam darahnya masih tidak normal. Saya dimaklumkan paras hemoglobinnya adalah lapan berbanding paras normal 12," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

Ahli parlimen Barisan Nasional itu dikejarkan ke hospital pada jam 12.15 petang selepas mengadu tidak sihat ketika menghadiri pesta durian dan promosi daging kambing anjuran kementerian pertanian dan industri asas tani di dewan serbaguna Parlimen.

Beliau kemudiannya ditempatkan di unit rawatan jantung di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan pembantu peribadinya Mansor Mahdar yang ditemui semalam berkata majikannya kurang sihat kerana kemungkinan terlebih makan durian dan daging kambing pada pesta di Parlimen itu.


Tiada ulasan: