Ahad, 4 Julai 2010

Kerajaan Kaji Dahulu Sebelum Mansuh UPSR dan PMR

TV SELANGOR


Kerajaan diminta menyediakan satu mekanisma kajian sebelum membuat keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang mungkin dimansuhkan .

Adun Teratai, Jenice Lee berkata niat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyuddin untuk memansuhkan peperiksaan itu harus mendapatkan pandangan umum daripada orang ramai terlebih dahulu.

“Isu UPSR, kerajaan mencadangkan supaya dihapuskan peperiksaan ini, saya berpendirian tidak seharusnya kerana kita perlu adakan satu mekanisme untuk mengkaji pelajar kita.

“Kalau UPSR dimansuhkan, bagaimana kita hendak tahu tahap pencapaian pelajar-pelajar sekarang, kita tidak akan tahu.”

Muhyuddin baru-baru ini memberitahu kepada media bahwa sistem pembelajaran di negara ini kini dilihat terlalu berorientasikan peperiksaan jika hendak dibandingkan dengan negara luar.

Bagi mengurangkan peperiksaan di negara ini, beliau berkata peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia akan dikekalkan sebagai satu-satunya peperiksaan awam di sekolah.

Jenice bagaimanapun menegaskan UPSR dan PMR akan jadi kayu pengukur dalam menilai pencapaian pelajar-pelajar sekali gus memperkasakan sistem pendidikan di negara ini dengan tahap pencapaian pelajar dapat dipantau dari satu tahap ke satu tahap.

Jenice berkata negara akan menghadapi masalah besar pada masa hadapan sekiranya tetap berdegil untuk meneruskan pemansuhan UPSR dan PMR itu.

“Jadi kita harap kualiti dapat diperbetulkan dengan secepat mungkin bukan untuk Pakatan Rakyat atau tetapi untuk negara kita sendiri, kalau kualiti jatuh dan bayangkan dalam masa 10 tahun selepas ini, apakah kualiti yang ada di sini, tiada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis sumbangan Tempatan Penantian Adun Cempaka, Iskandar Abdul Samad yang menyumbangkan sebanyak RM10,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ong Pong 2 di Pandan Mewah, Ampang.

Tiada ulasan: