Rabu, 21 Julai 2010

Kenapa taklimat JPM di dewan Umno

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Ahli Parimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Ghazali mempersoal tindakan Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri (JPM) memberikan taklimat kepada kakitangan kerajaan di dewan Umno dan dirasmikan oleh ketua Umno Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Lo' Lo' berkata, JPM masih berfikiran lapuk dengan beranggapan seolah-olah Umno itu adalah kerajaan.

"Bagaimana sebuah unit dibawah JPM boleh terus bersetuju untuk memberi taklimat pada kakitangan kerajaan walau pun dimaklumkan tempat yang dicadangkan adalah sebuah dewan parti politik yang berselerak dengan bendera parti.

"Apakah JPM tidak perlu akur kepada General Order yang melarang kakitangan kerajaan terlibat secara aktif dengan parti politik. Inilah kerajaan pusat yang ada yang tidak pernah belajar dari kesilapan dan tidak sedia untuk berubah. Mereka sentiasa beranggapan dan bertindak seolah-olah Umno itu ialah kerajaan dan kerajaan itu Umno," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Menurut Lo' Lo', daripada sumber yang diterimanya, taklimat berkenaan mengenai pengosongan kuarters kerajaan Jalan Cochrane yang terletak di Parlimen Titiwangsa.

Majlis berkenaan diatur oleh rukun tetangga kuarters tersebut berikutan mereka telah menerima notis pengosongan pada Disember.

Lo' Lo' memberitahu, sebelum ini beliau telah menyertai satu majlis dialog berhubung isu yang sama iaitu penduduk telah menerima notis untuk mengosongkan kuarters pada Mei yang lalu.

Beliau juga telah mendapat jaminan daripada pegawai BPH yang hadir pada malam tersebut bahawa kakitangan kerajaan tidak akan diminta mengosongkan kuarters sehingga urusan tukar milik status hartanah tersebut disempurnakan.

Hal ini kerana penduduk khuatir kawasan berkenaan tidak akan dibangunkan terus dan terbiar bertahun-tahun seperti yang berlaku di kawasan kuarters kerajaan Jalan Imbi yang sehingga kini terbiar dan menjadi sarang penagih dadah serta dipenuhi setinggan-setinggan.

Beberapa rumah yang dikosongkan dan telah dirobohkan di kawasan itu juga tinggal seperti padang jarak padang tekukur.

Menurut Lo' Lo' juga, walaupun beliau telah membantah taklimat itu diadakan di dewan Umno namun pegawai berkenaan mendapat arahan untuk meneruskan majlis malam tadi.

Ujarnya, rakyat boleh menilai bahawa selama ini kerajaan memang bersekongkol dengan Umno dan wujud 'double standard' dalam melaksanakan program-program mereka.

Tiada ulasan: