Jumaat, 23 Julai 2010

Jakim segerakan sijil halal menjelang Ramadan

BERNAMA


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mempercepatkan proses permohonan sijil halal pada kalangan pengusaha hotel yang berbuat demikian sebelum bulan Ramadan bermula.

Ketua
Pengarahnya Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata langkah itu bagi menggalakkan lebih ramai pengusaha hotel di negara ini berbuat demikian sama ada menerusi Jakim atau jabatan agama Islam negeri.

"Memandangkan bulan Ramadan tidak lama lagi, pasti banyak majlis berbuka puasa akan diadakan di hotel. Jakim akan menyediakan pegawai khusus untuk memproses permohonan sijil halal itu tanpa perlu mengikut giliran," katanya kepada pemberita, di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata sehingga kini hanya 64 hotel di seluruh negara yang mempunyai Sijil Halal Malaysia.

Sehubungan itu juga, Wan Mohamad berkata Jakim bersama Perbadanan Pembangunan Industri Halal dan Persatuan Hotel Malaysia kini giat menganjurkan kursus kesedaran pada kalangan pengusaha hotel.

"Mel
alui kerjasama ini pengusaha hotel diharap akan memandang serius mengenai perkara itu," katanya.

Mengulas isu berlainan, Wan Mohamad berkata menjelang Ramadan ini juga Jakim telah menerbitkan tiga risalah dalam bahasa Khmer iaitu 'Panduan Bertayammum Wuduk dan Solat bagi Pesakit', Panduan Berpuasa bagi Pesakit', dan 'Panduan Berpuasa Ramadan', untuk diedar kepada komuniti Islam di Kemboja.

"Sebanyak 2,000 risalah dicetak setiap satu dan akan diedarkan secara percuma. Selepas ini Jakim bercadang untuk menerbitkan risalah untuk diedarkan kepada komuniti Islam di Vietnam pula," katanya.


Tiada ulasan: