Jumaat, 23 Julai 2010

IJN Lakukan Implan Pertama alat Watchman Menggantikan Pencair Darah Bagi Pesakit Jantung

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) pada Khamis mencipta satu lagi kejayaan di bidang perubatan bila pasukan Elektrofisiologinya berjaya menanam (implan) alat "Watchman" pada dua pesakit yang mengalami pemfibrilan atrium (AF) bagi menggantikan pencair darah dan mengurangkan risiko strok. Penolong Ketua Jabatan Kardiologi IJN Dr Razali Omar yang mengetuai pasukan itu, berkata AF adalah penyebab biasa strok di mana ruang atas jantung berdenyut terlalu pantas. Akitiviti elektrikal luar biasa, tidak teratur ini mengakibatkan tindakan pengepaman atrium yang tidak berkesan, katanya.

Dr Razali memberitahu sidang akhbar di sini, pasukan itu menanam alat itu pada dua pesakit berusia lebih 70 tahun yang mempunyai risiko strok yang tinggi disebabkan AF.

Pembedahan pertama pesakit wanita bermula jam 10 pagi dan selesai 45 minit kemudian, dan pembedahan kedua ke atas pesakit lelaki bermula pada 12 tengah hari dan selesai pada 12.45 tengah hari.

Pasukan itu dipandu oleh Dr Shephal K. Doshi, pakar prosedur berkenaan yang berkhidmat di Pacific Heart Institute, California, Amerika Syarikat.

Dengan kejayaan pembedahan itu, IJN kini muncul sebagai sebuah dari sebilangan kecil pusat jantung untuk menanam alat berkenaan di rantau ini. Beliau berkata penggunaan alat Watchman boleh mengurangkan risiko strok khususnya bagi pesakit AF, yang berjumlah lima juta orang di seantero dunia.

Kebanyakan strok yang dikaitkan dengan AF adalah akibat migrasi darah beku yang terbentuk di appendage atrial kiri (LAA), kata beliau, dan menambah, alat Watchman direka bagi menutup LAA.

Dr Razali berkata alat itu dimasukkan ke jantung menerusi tiub fleksibel, kateter, melalui urat di pangkal paha.

"Alat itu digunakan untuk memerangkap sebarang pembekuan darah yang mungkin membentuk di bahagian appendage dengan itu mengurangkan risiko strok dan menghapus keperluan medikasi pencairan darah jangka panjang seperti warfarin," katanya.

Beliau berkata keupayaan menutup LAA tanpa pembedahan besar memberikan banyak kelebihan klinikal kepada pesakit yang mengalami AF.

Pemasangan alat Watchman melibatkan kos kira-kira RM30,000 bagi seseorang pesakit dengan beliau tinggal dua hari di IJN, katanya.

Tiada ulasan: