Ahad, 18 Julai 2010

Harussani semakin celaru

Harakahdaily

IPOH: Sekarang sudah terang lagi bersuluh, penghujung hayat seorang mufti yang dahulunya terkenal dengan pelbagai isu seperti murtad, sudah sangat bercelaru dan kabur.

Setiausaha Sekretariat Pakatan Rakyat Negeri Perak, Drs Khalil Idham Lim (gambar) menyifatkan Tan Sri Harussani Zakaria sudah menjadi pejuang assobiah dan mempertahankan perjuangan Umno yang ‘sesat’.

“Saya sangat terkejut dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau ini.

“Nampaknya dia semakin bercelaru dan semakin menampakkan usia senjanya yang kurang jelas ke mana halatujunya sebenar,” ujar Khalil di dalam blognya.

Harussani sebagai dipetik dalam Malaysiakini: "Harapan itu ada kerana kedua-duanya (Umno dan PAS) memang hendak bersatu. Itulah cita-cita saya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Melayu Perak anjuran Gagasan Melayu Perak di Ipoh, kelmarin.

Menurut Khalil yang juga Ketua Penerangan PAS negeri, satu perkara yang mengejutkan apabila Harussani berkata terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangannya berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

“Siapa pula yang dimaksudkan oleh Harussani terutamanya dari PAS. Saya kira satu kenyataan yang bahaya dan perlu dibuktikan oleh beliau, bukannya main lepas cakap. Ataupun perbualan biasa dengan orang yang didakwa PAS oleh beliau dan dia mahu memutar belit fakta untuk sekian kalinya,” katanya lagi.

Katanya, Harussani mendakwa beliau telah menjelaskan kepada mereka bahawa beliau bukan orang politik dan tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara tersebut bagi kedua-dua belah pihak.

Persoalannya, kata Khalil kita hendaklah kembali kepada perkara asal yang menjadi polemik antara beliau dengan bekas Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang yang jelas menunjukkan Harussani berbohong dan memutar belit fakta yang sebenar.

Beliau yang juga Adun Titi Serong menambah, kalau mufti itu berani dan sudah kecewa, bolehlah dia berkata dan menyokong kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal yang mengatakan PAS adalah parti ajaran sesat.

“Sesudah itu buatkan kempen besar-besaran untuk menarik orang Melayu termasuk orang PAS untuk meninggalkan parti sesat seperti kata Shafie,” ujarnya sinis.

Tiada ulasan: