Ahad, 11 Julai 2010

BN cadang pindaan perlembagaan untuk tarik bukan ahli parti

BERNAMA


KUANTAN: Barisan Nasional (BN) bercadang meminda perlembagaan parti bagi membolehkan masyarakat khususnya golongan muda mendekati parti itu, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan BN berkata, pada masa ini kebanyakan golongan muda memahami dan menyokong aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, namun tidak mahu menyertai parti politik.

"Yang menjadi tanda tanya, apa kita nak buat dengan rakyat di luar sana di mana ada golongan muda tidak mahu bersama UMNO dan BN tetapi mereka yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Najib dan mereka sokong gagasan 1Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Paya Besar di sini, hari ini.

Katanya, golongan terbabit kurang berminat dengan politik, namun mahu menjayakan visi dan aspirasi kerajaan BN.

"Mereka tahu banyak perkara yang digembar-gemburkan adalah perkara politik, mereka nak dekatkan diri dengan BN dan kita nak cari ruang untuk suara mereka didengari," katanya.

Bagaimanapun, Hishammuddin enggan mengulas lanjut berhubung fasal tertentu dalam perlembagaan terbabit yang perlu dipinda.

Beliau berkata, pihaknya telah menyiapkan draf pertama pindaan itu yang akan dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti komponen BN untuk perbincangan sebelum diluluskan.

Hishammuddin yakin pindaan berkenaan akan dapat dilaksanakan pada hujung tahun ini.

Tiada ulasan: