Ahad, 4 Julai 2010

283 sekolah punyai kemudahan paling teruk

UTUSAN ONLINE

POKOK SENA - Kira-kira 283 buah sekolah atau tiga peratus daripada 9,462 sekolah di seluruh negara dikategorikan mempunyai kemudahan fizikal yang paling teruk.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, penemuan itu dibuat melalui pengauditan kemudahan fizikal sekolah-sekolah yang dibuat oleh satu jawatankuasa khas Kementerian Pelajaran baru-baru ini.

Katanya, audit yang dibuat atas arahan Menteri Pelajaran bertujuan mengenal pasti tiga perkara utama iaitu keadaan fizikal sekolah sedia ada, kemudahan sekolah berada dalam keadaan yang sepatutnya dan memastikan peralatan termasuk kerusi dan meja mencukupi.

"Program audit ini adalah berdasarkan kepada Sistem Maklumat Pengurusan Pelajaran (EMIS) untuk mengenal pasti kedudukan sesebuah sekolah kepada empat kategori utama.

"Kategori tersebut adalah baik, sederhana, teruk dan sangat teruk," katanya kepada para pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pokok Sena, di sini hari ini.

Menurutnya, sebahagian besar sekolah yang mempunyai kemudahan fizikal yang sangat teruk seperti tiada dinding terletak di Sabah dan Sarawak.

Berikutan pengauditan itu, Mohd. Puad memberitahu, sebanyak empat tindakan susulan akan diambil sama ada membaiki, mengganti, menambah atau membina semula kemudahan tersebut.

"Sebagai contoh, jika sesebuah sekolah itu dilanda banjir setiap tahun, adalah lebih baik ia dibina di tempat lain yang selamat daripada fenomena cuaca itu," ujarnya.

Katanya, untuk tempoh tiga minggu akan datang mulai semalam, jawatankuasa khas itu sedang menyediakan laporan mengenai kos yang perlu disediakan bagi melaksanakan tindakan susulan tersebut.

Beliau berkata, Kementerian Pelajaran berharap semua tindakan susulan itu dapat dijalankan pada Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menurutnya, kesemua 9,462 sekolah yang diaudit itu termasuk sekolah kebangsaan, sekolah bantuan modal, sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah agama negeri.

Tiada ulasan: