Amanah harap ada garis masa yang ditetapkan untuk PPBM berbincang dengan PAS, manakala PKR harap keputusannya adalah positif.
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diingatkan untuk mengemukakan hasil perbincangan dengan PAS berhubung pembahagian kerusi kepada Pakatan Harapan.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, tiada halangan untuk PPBM mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti pembangkang lain termasuk PAS untuk tujuan memastikan tidak berlaku pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya yang akan datang.
“Kita tidak ada kuasa ke atas PPBM untuk berunding dengan siapa sahaja yang dirasa parti itu perlu berunding, kita hormat apa sahaja hak PPBM untuk buat demikian.
“Cuma pada akhirnya segala yang telah diperbualkan dan dicapai dengan mana-mana pihak perlu dibawa balik kepada Pakatan Harapan punya mesyuarat presiden di situ kita akan buat penilaian.
“Saya kira di antara keprihatinan PPBM untuk berbincang dengan PAS adalah bagi mengelakkan berlakunya tiga penjuru, bagi kami (Amanah) kami sudah sebut daripada awal. Tidak menghalang mana-mana pihak berbincang khususnya dengan PAS,” katanya kepada Berita Daily ketika ditemui di Parlimen, hari ini.
Semalam Presiden PPBM Muhyiddin Yassin berkata PAS telah bersedia untuk berunding dengan parti tersebut berhubung pembahagian kerusi.
Sebelum ini PPBM dilaporkan tidak menghadiri sesi rundingan dengan Pakatan Harapan atas alasan masih belum memuktamadkan pembahagian kerusi dan kawasan yang akan ditandingi parti itu nanti.
Penganalisis politik kemudiannya beranggapan bahawa punca penangguhan PPBM adalah kerana masih mengharapkan PAS untuk bersama-sama dengan gabungan itu membentuk satu tenaga pembangkang pada pilihan raya yang akan datang.
Walaupun parti Islam itu sudah beberapa kali meyuarakan keengganan untuk bekerjasama dengan pakatan pembangkang namun PPBM dilihat masih menaruh harapan yang sama.
Mengulas lanjut Mujahid berpendirian perbincangan di antara kedua-dua parti itu memerlukan garis masa yang sesuai agar tidak akan menjejaskan perancangan gerak kerja parti itu.
“Pilihan raya semakin hampir, kita perlu bukan sekadar mengelak bertembung, tetapi bekerja sekali manifesto yang didirikan bersama, jikalau kita mahu mengambil pendekatan berbeza dari satu negeri ke satu negeri sudah tentu itu lebih rumit,
“Jadi masa yang kita ada tidak banyak sebab itu saya menyatakan di sebalik kita bersetuju berunding dengan sesiapa sahaja yang kita mahu tapi jangan menjejaskan kepentingan lebih besar yang ada dalam Pakatan Harapan,” tambah beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Parit Buntar.
Sementara itu Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pihaknya menyambut baik ruang rundingan yang diberikan oleh PAS kepada PPBM dan mengharapkan keputusan yang tidak akan menghampakan tujuan utama parti pembangkang demi melawan BN kali ini.
“Saya sambut baik perbincangan itu dan kita mengharapkan kedua-dua pihak dapat berbincang dengan terbuka kerana kita yakin bahawa formula pada pilihan raya akan datang ini menuntut untuk kesemua pembangkang bersatu, satukan kekuatan untuk bertanding melawan BN.
“Pertemuan ini saya fikir langkah yang baik dan saya mengharapkan untuk keputusan yang positif nanti,” ujar Ahli Parlimen Bukit Katil itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan