ANTARAPOS.COM
KUCHING: Kakitangan dan pesakit di Pusat Perubatan Timberland, Jalan
Rock di sini, cemas selepas berlaku tumpuhan merkuri dalam sebuah wad di
hospital swasta itu hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong
Ling Hii berkata, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)
Batu Lintang bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima
maklumat mengenai insiden itu pada pukul 12.16 tengah hari.
"Tiba di tempat kejadian, kita mendapati terdapat tumpahan bahan kimia
jenis merkuri di lantai sebuah wad di pusat perubatan itu.
"Anggota bomba terus bertindak menjalankan operasi pembersihan dengan
menabur serbuk sulfur ke atas bahan merkuri yang tumpah dan menggunakan
pita pelekat bagi membersihkan sisa-sisa pada celah jubin lantai,"
katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, tumpahan serbuk merkuri yang dikumpul semula itu
kemudian disimpan dalam bekas bertutup dan diserahkan kepada pihak
hospital untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan pelupusan serta
rekod.
Seterusnya, kata beliau, pihak bomba membersihkan permukaan lantai
menggunakan bahan pencuci bagi memastikan tiada lagi sisa-sisa bahan
kimia tersebut.
Katanya, operasi pembersihan tamat pada pukul 12.50 tengah hari dan
tiada kakitangan serta pesakit dilaporkan terhidu bau bahan kimia
merbahaya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan